malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Beli apartmen tak akan dapat kerakyatan, kata MB Johor
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 5:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM
ADS

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek pembangunan Forest City umpama mempertikai dasar kerakyatan negara ini.

Ini kerana kata Mohamed Khaled, kerakyatan negara ini tidak boleh diperolehi dengan sekadar membeli apartmen.

"Itu seperti mempertikaikan dasar imigresen negara, dasar kerakyatan... takkan mereka beli apartmen boleh dapat kerakyatan.

“Itu pembohongan semata-mata untuk takutkan orang Johor," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan Parlimen Parit Sulong di Muar, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa seramai 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Johor di bawah projek itu dan diberi kewarganegaraan.

Mohamed Khaled berkata projek Forest City yang membabitkan kos AS$100 bilion itu bukan milik syarikat China sepenuhnya kerana mempunyai pegangan tempatan sebanyak 42 peratus.

"Keluasan pembangunan Forest City yang menggunakan tanah yang kita tambak hanyalah sebanyak 0.01 peratus daripada keluasan negeri Johor," katanya.

Beliau juga berkata projek mega tersebut penting bagi membolehkan Johor terus membangun dan mampu bersaing dengan Singapura.

"Takkan Johor hendak jadi halaman belakang Singapura sampai bila-bila, jadi kita perlu pelaburan yang besar, jadi dengan pelaburan itu ia akan membuka peluang Johor untuk menjadi pusat perdagangan, kewangan, perniagaan dan sebagainya," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata projek berkenaan juga tidak tertumpu kepada pasaran China semata-mata tetapi seluruh dunia.

- Bernama

Lihat Komen