malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MB sedia undang Dr M lihat sendiri Forest City
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 1:42 PM
Dikemaskini: 5:45 AM
ADS

Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin menyatakan kesediaan untuk mengundang Tun Dr Mahathir untuk melihat sendiri projek Forest City.

Tegas beliau, kedaulatan undang-undang negara tidak mungkin membenarkan penganugerahan status kerakyatan kepada mana-mana individu hanya kerana mereka membeli harta tanah, lapor Jauhar.

“Kita boleh jemput Tun Mahathir untuk melihat ada atau tidak 700,000 orang China di sana?

“Projek itu dijangka ambil masa 30 tahun dan bila siap kelak, ia akan menjadi pusat kewangan, perdagangan, perniagaan yang membolehkan kita menarik pelbagai orang untuk berniaga di sana,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bazar Tahun Baru Cina Muafakat Johor 2017 anjuran Gabungan Persatuan Tiong Hua Pasir Gudang di Taman Johor Jaya semalam.

Dr Mahathir pernah mendakwa banyak tanah dan kediaman di sekitar Johor Bahru akan dijual kepada warga asing sehingga boleh menimbulkan masalah, termasuk isu keselamatan.

Salah satunya, kata Mahathir, ialah projek pulau buatan Forest City oleh pemaju China, yang didakwa menyasarkan pembeli daripada kalangan rakyat negara itu.

Dr Mahathir menimbulkan kebimbangan itu berdasarkan laporan Bloomberg yang mendakwa Forest City akan menampung 700,000 rumah baru apabila siap kelak.

'Nasib baik' ada Forest City

Sementara itu, Khaled juga berkata projek berskala mega seperti Forest City adalah inisiatif bagi meningkatkan kemampuan negara untuk bersaing dengan Singapura.

Malah, katanya, Malaysia bernasib baik kerana ada pihak yang yakin membuat pelaburan besar seperti di Forest City.

“Kita bernasib baik berjaya menarik pelabur yang kebetulan daripada China.

“Ini sangat penting kerana ekonomi dunia hari ini penuh dengan cabaran. Tanpa pelaburan daripada luar, kita mungkin akan berhadapan dengan keadaan yang semakin teruk,” katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut membidas Mahathir dan berkata "amat tersinggung dan disakiti" oleh beberapa ulasan bekas perdana menteri keempat itu.

Lihat Komen