malaysiakini logo
story-image
ADS

"Mulai hari ini dan seterusnya, Amerika diutamakan," katanya Donald Trump dalam ucapannya ketika mengambil alih kuasa sebagai presiden ke-45 Amerika Syarikat semalam.

Berucap di hadapan ribuan hadirin yang berhimpun di National Mall untuk menyaksikan upacara tersebut, Trump berkata pekerja Amerika terjejas teruk oleh penyumberan pekerjaan dari luar.

Dengan Obama dan tiga bekas presiden lain turut hadir, Trump menuduh pentadbiran AS sebelum ini memperkayakan Washington di tengah-tengah kesengsaraan keluarga Amerika.

Gambar dari udara memaparkan penyokong Trump di Mall menunjukkan tidak seramai ketika Obama mengangkat sumpah jawatan presiden pada 2009.

Manakala di pusat bandar Washington, protes terhadap Trump menjadi ganas di mana akitivis berpakaian hitam memecahkan tingkap kedai, menyekat lalu lintas dan bertempur dengan polis anti-rusuhan yang bertindak balas dengan mengguna gas pemedih mata dan bom pegun.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 95 orang ditangkap.

Trump berkata Amerika telah memperkayakan industri asing dan menjejaskan syarikat Amerika, mensubsidi tentera negara lain dan membiarkan tentera AS serba kekurangan, dan membelanjakan trilion di luar negara menyebabkan infrastruktur di AS berderai.

"Kekayaan kelas pertengahan kita dicabik dan kemudiannya diagihkan semula di seluruh dunia," katanya.

Trump menuduh Washington melindungi dirinya tetapi mengabaikan rakyat biasa yang hidup dalam kemiskinan dan jenayah.

Sambil menegaskan bahawa semua itu akan berakhir sekarang, Trump berkata setiap keputusan mengenai perdagangan, cukai, imigresen, hal ehwal luar, akan dibuat untuk memberi manfaat kepada pekerja dan keluarga Amerika.

Sementara Trump meletakkan dirinya sebagai juara rakyat Amerika yang bekerja, Pusat Dasar Cukai - sebuah badan pemikir - menganggarkan cadangan cukainya bukan sahaja akan menambah AS$7.2 trilion dalam hutang kerajaan AS dalam tempoh 10 tahun pertama, tetapi juga condong membantu rakyat kaya Amerika.

Seorang ahli perniagaan di New York dan bekas bintang TV realiti yang tidak pernah memegang jawatan awam, Trump akan meletakkan Amerika pada laluan baru dan yang tidak menentu, di dalam dan di luar negara.

Kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden disambut dengan kebimbangan oleh banyak negara di seluruh dunia, sebahagiannya kerana potensi wujud unsur pengasingan diri dalam dasar luar negara Amerika.

Dalam satu temu bual selepas Trump mengangkat sumpah, Naib Canselor Jerman Sigmar Gabriel berkata, "Apa yang kita dengar hari ini ialah nada nasionalisme yang tinggi."

"Saya rasa kita perlu bersedia untuk perjalanan yang sukar," Gabriel memberitahu penyiar awam ZDF, sambil menambah Eropah harus berdiri bersama-sama untuk mempertahankan kepentingannya.

Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto mengucapkan tahniah kepada Trump, tetapi memberi amaran bahawa kedaulatan, kepentingan negara dan perlindungan Mexico akan menjadi paling utama.

Mexico marah dengan ikrar Trump untuk membina tembok di sepanjang sempadan Amerika selatan bagi menyekat pendatang tanpa izin, dan untuk membuat Mexico membayarnya. Trump juga kerap mengkritik syarikat-syarikat Amerika yang menjalankan operasi perkilangan di Mexico.

Pasaran saham AS ditutup tinggi semalam dalam pendahuluan sederhana, menandakan buat kali pertama dalam tempoh lebih daripada 50 tahun di mana presiden baru disambut baik oleh pasaran ekuiti yang meningkat pada hari pertama beliau memegang jawatan.

Pope Francis menggesa Trump dipandu oleh nilai-nilai etika, dengan berkata beliau perlu menjaga golongan miskin dan yang terbuang.

Trump juga memberi isyarat mengenai kemungkinan pendekatan yang lebih agresif terhadap militan Negara Islam.

"Kita akan mengukuhkan pakatan lama dan membentuk yang baru, dan menyatukan dunia bertamadun untuk menentang keganasan radikal Islam, yang kita akan banteras sepenuhnya dari muka bumi," katanya. [Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen