malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Keputusan Mahkamah Rendah Syariah Klang yang memutuskan Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersalah kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Klang pada 2011 adalah mengejutkan.

Dalam penghakimannya, semalam Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Hakikatnya, Khalid dijemput oleh ahli surau untuk menceritakan pengalaman lawatan beliau ke Gaza dan bukan berkuliah agama.

Bukankah Islam menuntut kita berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman?

Tindakan sebeginilah yang membuat orang ramai hilang keyakinan ke atas kebijaksanaan mahkamah syariah dan majlis agama hari ini.

Adakah tindakan ini kerana beliau tidak "bertauliah" walaupun apa yang disampaikan bukan ajaran salah atau kuliah àgama sekalipun?

Berapa kali telah kita menyaksikan ahli jemaah dijemput imam masjid memberi ucapan berkongsi pengalaman mereka tanpa didakwa?

Halal darah

Bagaimana pula dengan imam dan penceramah bertauliah yang menyampaikan ajaran yang salah dan menyesatkan?

Saya sendiri telah melaporkan di Parlimen dan juga orang lain yang dilaporkan oleh media, tentang ucapan di masjid dan surau tertentu di mana penceramah mengistiharkan 'halal darah' dan boleh 'menghapuskan nyawa orang tertentu.

Kenapa tiada tindakan sehingga hari ini?

Adakah kerana mereka ini bertauliah, mereka berhak membuat pengistiharan bunuh sedemikian rupa - iaitu tauliah "with license to kill"?

Mufti Pahang pula mengistiharkan ahli parti DAP sebagai kafir harbi yang boleh dihapuskan tanpa apa-apa tindakan. Adakah mereka mereka yang bertauliah ini boleh mengistiharkan apa sahaja dan memiliki kekebalan?

Ada juga yang mengistihar sesama Islam kafir dan terkeluar akidah dengan sewenang-wenangnya. Adakah mereka ini kebal dan juga maksum?

Budaya dan gejala takfiri sudah lama bersama kita dan kerajaan sengaja memekakan telinga atas kepentingan dan kesefahaman politik.

Kami sudah lama membahaskan isu ini di Parlimen dengan kerajaan membisu seribu bahasa.

Hukum mengkafiri

Budaya takfiri tidak perlu dibawa masuk dari luar oleh ISIS atau DAESH, ia sudahpun bersama kita.

Khalid Samad dihukum kerana bercakap tentang pengalaman di Gaza tanpa tauliah.

Bagaimana pula mereka yang mengamalkan budaya takfiri menghukum kafir sesama Islam dan halal darah dengan memiliki tauliah oleh pihak berkuasa? Kebal kah mereka?

Islam menuntut keadilan untuk semua dan pihak majlis agama serta mahkamah syariah perlu bertindak adil kepada semua tidak kira fahaman ideologi atau politik.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Aku diutus bukan untuk melaknat, tetapi untuk membawa rahmat.”

Oleh itu siapakah kita, walaupun kononnya bertauliah, untuk melaknat sesama Islam?

Kami sedang mengkaji merujuk ketidak-adilan ini kepada Majlis Raja-Raja Melayu supaya kesucian agama Islam dan nama baik Majlis Raja Raja terpelihara.

Kepada Allah yang maha besar dan adil kami berserah.


Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Lihat Komen