malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi soal jika Felda telah jual kondo di KL
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu tahu jika Felda telah menjual dua unit kondominium mewah bernilai RM8.4 juta yang dilapor dibeli anak syarikatnya Felda Global Ventures (FGV) pada 2014.

Beliau berkata semakan ke atas laporan kewangan terkini FGV bagi tahun 2015 menunjukkan firma itu masih memiliki unit tersebut di The Troika - sebuah bangunan di Lorong Binjai dan berdekatan taman KLCC.

"Jika ia telah dijual, berapa banyak kos yang ditanggung setiap tahun?

"Sehingga 31 Disember 2015, kedua-dua pangsapuri ini tidak menjana sebarang pendapatan untuk FGV dan telah mencecah sehingga RM66,000 setahun dalam kos penyelenggaraan," kata Rafizi pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Unit pertama dibeli dengan harga RM5.1 juta, manakala yang kedua dibeli pada harga RM3.2 juta.

FGV membeli unit berkenaan yang sebelum ini dimiliki warga asing dengan harga RM8.43 juta pada 29 September 2014.

Beliau berkata jika unit berkenaan belum dijual, pengerusi baru Felda Tan Sri Shahrir Samad perlu mengarahkannya supaya dicairkan.

Kenyataan Rafizi dibuat dua hari selepas Shahrir mengakui terdapat ketirisan dalam Felda.

Pengerusi Felda itu turut mengumumkan usaha untuk memulihkan kerugian agensi itu, termasuk menerusi penjualan hotelnya di London.

Shahrir berkata ketirisan itu kebanyakannya berpunca daripada anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd.

Beliau menolak desakan supaya membuat laporan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Shahrir berkata ini kerana ketirisan itu diketahui Jabatan Audit Negara dan SPRM mungkin akan membuat tindakan susulan ke atasnya.

Rafizi berkata beliau sendiri tidak akan membuat laporan SPRM berhubung perkara itu.

"Akta SPRM mengatakan bahawa mereka yang membuat laporan tidak boleh bercakap mengenai perkara itu," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata butiran mengenai ketirisan dalam Felda sudah berada dalam laporan polis yang difailkan terhadap pegawainya pada akhir Disember.

Lihat Komen