malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH: Parlimen paling sesuai bahas Akta 355
Diterbitkan:  Jan 9, 2017 11:00 AM
Dikemaskini: 4:40 AM
ADS

Ketika PAS mahu berhimpun di Dataran Merdeka, Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata parlimen adalah pentas paling sesuai untuk membahaskan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

“Pendirian serta cadangan AMANAH berhubung usul RUU355 akan diberikan di parlimen apabila usul ini diterima untuk dibahaskan pada mana-mana sesi parlimen akan datang.

“AMANAH berpandangan parlimen adalah pentas yang paling sesuai untuk usul ini dibentang dan dibahaskan,” kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

PAS akan menganjurkan himpunan besar pada 18 Februari depan untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam tentang Akta 355.

Mereka menyasarkan kehadiran 300,000 orang di Dataran Merdeka dalam acara lapan jam bermula 3 petang yang disokong beberapa NGO Islam itu.

Usul itu akan dibincangkan dalam sesi parlimen depan setelah mendapat laluan daripada kerajaan di parlimen.

Usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) itu bertujuan menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Dalam kenyataan hari ini, Salahuddin berkata AMANAH secara dasarnya bersetuju untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan telah pun mengemukakan cadangan mereka melalui usul anggota parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud pada sesi belanjawan tahun lepas.

“Kandungan dan maksud usul tersebut adalah jelas dan nyata,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mulia bagaimanapun menolak usul parti serpihan PAS itu bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h).

Peraturan itu menyebut, sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau penyelesaian berkenaan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau hendak mendapat jawapan dalam perkara yang dimisalkan.

Sementara itu, ditanya sama ada AMANAH akan menyertai himpunan itu, Salahuddin berkata pihaknya harus menunggu jemputan rasmi PAS terlebih dahulu sebelum memberi sebarang jawapan.

"Setakat ini AMANAH belum terima jemputan rasmi daripada PAS dan kita akan tunggu jemputan rasmi)," kata Salahuddin kepada Malaysiakini.

Lihat Komen