malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lantikan Shahrir seakan sahkan kewangan Felda meruncing - Rafizi
Diterbitkan:  Jan 7, 2017 2:16 PM
Dikemaskini: 6:41 AM
ADS

Naib presiden PKR Rafizi Ramli berkata pengumuman mengejut perdana menteri mengenai pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Felda mengesahkan bahawa isu-isu yang ditimbulkan mengenai kewangan agensi itu adalah benar.

Malah, katanya, sejak beliau memulakan pendedahan bersiri mengenai kepincangan kewangan Felda tiga minggu lalu, tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari Felda atau pengerusinya ketika itu, Tan Sri Isa Samad bagi menjawab angka-angka berkenaan.

"Pelantikan mengejut Tan Sri Shahrir Samad seakan-akan mengesahkan masalah kewangan yang meruncing yang dialami Felda dan menjunamnya sokongan peneroka Felda sendiri kepada Umno ekoran prestasi Tan Sri Isa Samad yang tidak memberangsangkan dan tidak popular.

"Meskipun begitu, tanggungjawab sebenarnya terletak di bahu Datuk Seri Najib sendiri kerana pengurusan Felda berada di bawah tanggungjawabnya.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa beliau (Shahrir) tidak boleh mencuci tangan atas segala kerosakan yang telah berlaku bersabit Felda," kata Rafizi dalam kenyataan media hari ini.

Rafizi menggesa Shahrir menjelaskan keputusan Felda membeli 37 peratus pegangan dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations yang didakwa dimiliki sahabat baik perdana menteri pada harga tiga kali lebih tinggi.

"Sedangkan Felda tiada wang dan tidak juga mempunyai kuasa penentu dalam membuat keputusan di dalam syarikat baru itu (walaupun mempunyai saham terbesar)," kata Rafizi.

Katanya, Shahrir juga perlu menjawab mengenai prestasi kewangan Felda yang merudum sejak 2013, hutang mencecah RM6 bilion dan rizab wang tunai yang didakwa susut kepada RM291 juta bagi tahun kewangan 2014.

Selain itu beliau juga mempersoalkan kedudukan kewangan Felda sedangkan belanja untuk menanam semula kelapa sawit mencecah RM2.5 bilion.

Beliau juga meminta Shahrir menjelaskan kegagalan projek-projek perumahan Felda yang diuar-uarkan Datuk Seri Najib Razak sehingga sejumlah RM193 juta kerugian khusus kepada program perumahan Felda dicatatkan dalam tahun 2014.

"Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Tan Sri Shahrir Samad dengan segera mengumumkan pembentangan kertas putih mengenai prestasi kewangan dan masa depan Felda di persidangan Parlimen akan datang dalam bulan Mac ini," katanya.

Selain itu Rafizi berkata beliau akan meneruskan pendedahan mengenai kepincangan kewangan dan pengurusan Felda termasuk satu pendedahan besar minggu depan.

Semalam, Shahrir diumum sebagai pengerusi baru Felda, manakala Mohd Isa yang telah tamat tempoh perkhidmatannya akan memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Menurut Najib, di bawah kepimpinan Mohd Isa, FELDA telah menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga mereka.

Lihat Komen