1MDB lantik Parker Randall sebagai juruaudit baru


(Dikemaskini )

1MDB akhirnya melantik sebuah firma audit baru selepas Deloitte menarik diri daripada menyempurnakan tugas mereka tujuh bulan lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga adalah pengerusi lembaga pengarah 1MDB pada sidang media hari ini mengumumkan firma pelaburan negara itu telah melantik Parker Randall, untuk mengaudit penyata kewangan 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

"Mereka sudah dilantik... dan sedang mengaudit akaun anak syarikat (1MDB),” katanya.

Pada Oktober lalu Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berkata juruaudit 1MDB sebelum ini, Deloitte, menarik diri selepas sebahagian dokumen penting yang diperlukan, berada dalam simpanan polis.

Sehubungan itu, 1MDB belum lagi mematuhi syarat ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mewajibkan laporan juruaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 diserahkan kepada mereka.

Bagaimanapun SSM memberi lanjutan tempoh kepada 1MDB sehingga Mac tahun ini.

Sejak penubuhannya pada 2009, 1MDB sering bertukar-tukar juruaudit, bermula dengan firma Ernst and Young sebelum diganti oleh KPMG.

[Baca berita penuh]


Artikel berkaitan

Share