malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Felda: Pegangan dalam EHP penting untuk syarikat
ADS

Keputusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk membeli pegangan dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP) Indonesia adalah penting bagi kemajuannya kerana syarikat itu telah sampai ke tahap di mana ia perlu membuat perubahan selepas enam dekad berada dalam industri.

Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan) Muzzammil Mohd Nor berkata sekiranya tidak berbuat demikian ini bermakna FELDA tidak akan berkembang manakala pesaing lain dalam sektor minyak sawit global semakin maju ke hadapan.

Menjelaskan rasional di sebalik janji niaga tersebut, Muzammil berkata ia amat penting dari segi strategik kerana ia akan menjadikan FELDA salah satu syarikat perladangan sawit terbesar dunia.

"Jika kami tidak melaksanakan janji niaga ini, kami akan ketinggalan dan terpaksa menyaksikan pesaing kami berkembang pesat dalam sektor amat menguntungkan ini," katanya dalam satu temu bual.

FELDA menerusi cabang pelaburannya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) melabur sebanyak US$505.4 juta untuk membeli 37 peratus pegangan dalam EHP daripada Rajawali Group.

EHP adalah satu daripada syarikat perladangan sawit tersenarai terbesar di Indonesia.

Mengenai dakwaan FELDA tidak mampu membiayai janji niaga tersebut, Muzammil berkata FELDA memperoleh pembiayaan kerajaan bagi janji niaga ini.

"Kerajaan menyokong inisiatif kami untuk mengembangkan operasi kami menerusi janji niaga ini kerana ia bukan hanya memberi manfaat kepada FELDA tetapi juga semua pemegang kepentingan lain dalam industri," katanya.

Menyangkal dakwaan bahawa janji niaga itu terlalu mahal, beliau berkata harga boleh diterima yang dicapai itu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kualiti aset perladangan, kekuatan operasinya, kestabilan kewangan, prospek pertumbuhan ekonomi dan ketersediaan pemilikan.

"Kami mengambil masa untuk menjalankan proses kajian terperinci yang termasuk membawa peladang FELDA kami bukan hanya sekadar melihat aset itu tetapi juga berbincang dengan peladang Indonesia yang memberikan kami pandangan dan maklum balas berharga mengenai syarikat itu.

"Terdapat juga banyak terma-terma yang kami rundingkan dalam perjanjian jual beli yang akan melindungi pelaburan kami dan kepentingan kami," katanya.

Mengulas lanjut, Muzammil berkata harga saham-saham itu ada masanya tidak mencerminkan nilai sebenar sesebuah syarikat atas pelbagai alasan termasuk keadaan kewangan, sentimen pasaran serta kekurangan jumlah dagangan.

Ini khususnya bagi syarikat-syarikat perladangan minyak sawit mentah (MSM) kerana mengambil kira asas perniagaan mereka yang berintensifkan modal.

Malah, metrik penilaian relevan yang diguna pakai di peringkat global adalah nilai perusahaan (EV) sehektar berbanding harga saham.

"Atas alasan itu, harga belian kami adalah agak memadai berbanding urus niaga lain membabitkan pembelian syarikat perladangan Indonesia oleh pihak lain sebelum ini," katanya.

Muzammil turut menegaskan, FELDA tidak membuat tawaran am menerusi pasaran terbuka kerana harga akan meningkat dan akhirnya berkemungkinan menyebabkan FELDA membuat bayaran lebih tinggi bagi pegangan saham lebih kecil.

Menurutnya, aspek premium itu pula boleh dijelaskan berdasarkan nilai EHP yang mana tiada ladang bersaiz sebesar itu yang ditawarkan untuk dijual pada penilaian tersebut.

Sehubungan itu, katanya, ia merupakan peluang bagi FELDA dan Malaysia atau mana-mana pihak asing untuk mengambil alih sebuah syarikat Indonesia yang memiliki tanah simpanan yang luas.

Rajawali Group adalah antara konglomerat terbesar di Indonesia dan mencari rakan dagang yang tidak hanya terbabit dalam sektor perladangan tetapi juga perniagaan lain yang berkaitan.

"Sebelum kami meneruskan urus niaga ini, beberapa syarikat perladangan serantau turut mengadakan rundingan secara tertutup dengan Rajawali Group.

"Apabila FGV (Felda Global Ventures Holdings Berhad) menunjukkan minat dan memulakan rundingan, Rajawali menamatkan perbincangan dengan pihak lain.

"Saya yakin jika kami tidak meneruskan urus niaga ini, sudah pasti ia akan diteruskan oleh pihak lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen