malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Suatu ketika dulu Tun Abdullah Ahmad Badawi kadang-kadang terlewat tiba di sesuatu majlis.

Suka atau tidak, wartawan yang ditugaskan membuat liputan terpaksalah menunggu sehingga beliau tiba. Dia bukan sembarangan. Abdullah ialah seorang perdana menteri.

Di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, ketika wartawan semakin gelisah menunggu ketibaan Abdullah, seorang wartawan berbisik: "Pak Lah bukan saja-saja lewat. Dia ada gerak hati."

Maksudnya - lebih kurang - kelewatan Abdullah tiba di sesuatu tempat untuk sebarang majlis bukanlah kelemahan ahli politik dari Pulau Pinang itu. Kira-kira beliau mempunyai ilham 'dari langit' yang disepadukan dengan naluri tersendiri - mengikut kata seseorang tadi.

Percaya atau tidak, ia adalah soal lain.

Itu Abdullah. Secara umum Abdullah bukanlah seorang ulama walaupun bapanya memang terkenal sebagai ilmuan disegani dan beliau belajar ilmu agama di universiti.

Jika Abdullah pun ada naluri dan ilham sendiri, tentulah Datuk Seri Abdul Hadi Awang memiliki kehebatan yang lebih tinggi. Abdul Hadi seorang ulama, tuan guru dan kini, sheikh.

Justeru kita sangat wajar berlapang dada dengan keputusan beliau pergi ke Tehran di saat Iran disebut-sebut sebagai penyumbang kepada krisis berpanjangan di Syria.

Seseorang itu ada haknya sendiri dan Abdul Hadi menggunakan hak berkenaan untuk membiarkan dirinya berada di tengah kerumunan ayatullah di Tehran.

Ia kira-kira samalah dengan hak Abdul Hadi untuk hadir atau tidak ke sidang Dewan Rakyat atau DUN Terengganu.

Dan beliau bukan saja-saja berjumpa dengan ilmuan Syiah di Tehran. Abdul Hadi membawa misi kemanusiaan dan perdamaian yang besar bertaraf global.

Tambahan pula persidangan yang dianjurkan kerajaan Iran itu adalah berkaitan persefahaman antara mazhab. Untuk yang belum benar-benar faham, sebahagian daripada konflik yang berlaku di atas dunia ini berpunca daripada kekejangan fahaman mazhab itulah.

Abdul Hadi ke sana dalam misi beliau untuk mengendurkan ketegangan itu. Jika tidak ada pilihan, beliau mungkin boleh memberi amaran keras kepada rejim Bashar al-Assad atau sesiapa yang terlibat, sama seperti beliau memberi amaran kepada Aung San Suu Kyi baru-baru ini.

Uslub dakwah dan siasah

Pemuda PAS sendiri bagaikan sudah menghantar isyarat lebih awal mengenai penglibatan Abdul Hadi dan ramuan bergeliganya bagi menyelesaikan konflik global.

Pada 15 Disember lalu Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyatakan parti itu menawarkan kepakaran serta wibawa presiden mereka untuk menjadi orang tengah merundingkan penyelesaian konflik di Syria.

Tokoh yang membuat kenyataan itu - tidak lain dan tidak bukan - adalah anak Abdul Hadi sendiri. Dia tentu arif benar kemampuan dan kehebatan bapanya.

Kesilapan - jika pun ada - atas pemergian itu adalah, ia dikaitkan dengan restu Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).

Biasalah. Bukankah Abdul Hadi sendiri naib ketua kepada KUIS? Ia bukan kedudukan sembarangan. Sesuailah dengan status Abdul Hadi (yang digelar sheikh oleh sesetengah orang, termasuk sesetengah pemimpin PAS) yang juga bukan sembarangan.

Cuma kita terkilan benar apabila Ketua KUIS Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi serta setiausaha badan itu Prof Dr Ali al-Qaradaghi membuat kecaman kepada seorang ulama Melayu.

Sebagai orang Arab kemungkinan besar tokoh seperti al-Qaradhawi dan al-Qaradaghi gagal memahami al-uslub dakwah wa as-siasah Abdul Hadi.

Kecaman itu nampaknya memang keras dan menyakitkan hati kita semua. Jika tidak, mana mungkin penyokong, ahli dan pimpinan PAS segera tangkas bangkit mempertahankan naib ketua KUIS berkenaan.

Lihat saja kenyataan-kenyataan mereka mengenai Abdul Hadi. Semuanya memberikan hujah tuntas dan jelas mengabsahkan kehadiran presiden parti itu ke Tehran.

Pedulilah al-Qaradhawi, al-Qaradaghi, atau sesiapa saja yang mempertikaikan Abdul Hadi. Jika perlu Abdul Hadi boleh saja melepaskan jawatannya di KUIS dan membentuk kesatuan baru.

Sebagai tokoh Melayu dan Islam di Nusantara, Abdul Hadi tentu tidak ada masalah untuk membentuk pertubuhan baru. Misalnya boleh saja digagaskan penubuhan Kesatuan Ulama Melayu Nusantara (KUMUR) bagi membawa suara ilmuan sehaluan Abdul Hadi dari rantau sini.

Untuk mendapat sokongan kebanyakan pimpinan PAS di pelbagai peringkat hari ini tentu boleh menjadi hujah atau dalil bagi menjuarai gagasan Abdul Hadi.

Ia kira-kira dapat mengatasi kelemahan guru-guru yang gagal bertepuk tangan ketika menghadiri majlis bersama menteri besar Terengganu suatu ketika dulu.

Sokongan segera dengan pelbagai hujah, dalil dan nas - dari satu segi - adalah tepukan gemuruh pengikut kepada seorang pemimpin.

Ingatlah peribahasa "ular yang menyusur akar tidak pernah hilang bisanya". Ulama yang tawaduk dan berpandangan amat jauh, matang dan sejahtera pula sudah tentu menitipkan pelbagai hikmah dan teladan dalam setiap langkahnya.

Lebih daripada itu Abdul Hadi adalah pembaca politik di lapangan antarabangsa berbanding kita seluruhnya yang hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam kamar yang sempit.

Bertabahlah wahai ummah.


Al-Abror Mohd Yusuf adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini

Lihat Komen