malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jamal bertuala, gagal tumpang mandi di pejabat Azmin
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 11:37 AM
Dikemaskini: 5:51 AM
ADS

Pengerusi Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, hari ini hanya bertuala dan hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk tumpang mandi di pejabat menteri besar Selangor.

Jamal yang juga ada ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau yang tiba di pintu utama bangunan itu pada jam 9.40 pagi bersama kira-kira 15 penyokongnya dihalang daripada memasuki pusat pentadbiran kerajaan Selangor itu.

“Saya cuma datang untuk menumpang mandi, sudah empat hari saya tidak mandi kerana ketiadaan air di rumah.

“Lagipun, saya bukannya datang untuk membuat demo baju merah ataupun bawa senjata, jika tidak boleh, benarkan saya mandi di tandas bawah saja.

"Jika mahu saya bayar, saya akan bayar. Saya pergi surau, masjid tapi semua tiada air," katanya.

Menurutnya, beliau amat kecewa dengan kerajaan negeri Selangor kerana isu ketiadaan air ini bukanlah isu baru malah sudah berkali-kali berlaku tetapi masih tiada sebarang penambahbaikan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Jamal kemudiannya terus mencaci Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang tidak membenarkannya menumpang mandi di pejabatnya.

Beliau kemudian cuba menghubungi telefon bimbit Azmin dan meninggalkan mesej suara, "Saya Jamal dari Sungai Besar... Saya datang untuk mandi. Rakyat susah. Sila angkat telefon kamu..."

Jamal yang kecewa seterusnya menggegarkan pagar dan mencabar pengawal untuk memeriksanya yang tidak membawa sebarang senjata.

"Saya hanya mahu untuk mandi! Saya tidak bawa bom atau senjata ...," katanya, sambil menuduh Azmin dan kerajaan negeri hanya mampu menuding jari dan mempolitikkan isu air.

“Mereka ini hanya tahu bercakap dan hanya menuding jari menyalahkan orang lain sahaja, cubalah belajar dari kesilapan dan mengakui salah mereka?” katanya.

Beliau juga mendakwa dirinya meninjau sekitar kawasan kejiranannya di Ampang dan mendapati bukan sahaja rumah tetapi masjid-masjid dan restoran juga tidak mempunyai air.

Sebanyak 814 kawasan di Lembah Klang yang membabitkan 3.89 juta pengguna menghadapi gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di stesen Bukit Badong, Hulu Selangor, bermula semalam hingga 24 Disember.

Gangguan itu melibatkan 707,759 akaun di 814 kawasan di sekitar Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bekalan air di Kuala Lumpur, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi tadi.

Lihat Komen