malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: M'sia alu-alukan keputusan Myanmar henti pekerja
ADS

Keputusan kerajaan Myanmar untuk menghentikan penghantaran pekerja asing ke Malaysia tidak akan mendatangkan akibat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan itu, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik pencabulan hak asasi manusia yang didakwa dilakukan kerajaan Myanmar terhadap penduduk Rohingya.

"Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan Myanmar untuk menghentikan pekerja asing yang datang ke Malaysia, dan ianya tidak akan memberikan akibat langsung dengan penghentian penghantaran pekerja-pekerja Myanmar ke Malaysia," kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan parti IPF ke 24 di Kajang, hari ini.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata langkah itu adalah "tidak adil dan menimbulkan gangguan" kerana anggota-anggotanya telah melakukan pengambilan dan mengeluarkan perbelanjaan lain untuk membawa masuk pekerja yang masih belum tiba.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin berkata, langkah itu tidak akan menjejaskan sektor pembuatan Malaysia kerana sumber utama untuk tenaga kerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Kemboja.

Hargai Duterte

Sementara itu, Zahid ditanya mengenai gesaan Presiden Filipina Rodrigo Duterte agar Malaysia dan Indonesia mengebom militan yang melarikan diri bersama-sama tebusan mereka.

Apabila ditanya mengenai kenyataan yang dilaporkan oleh Associated Press itu semalam, Zahid merujuk kenyataan terdahulu Duterte semasa mesyuarat dua hala dan pelbagai hala yang melibatkan Malaysia.

Dalam kenyatan rasminya, Zahid berkata, Duterte menganggap penculikan bagi mendapatkan wang tebusan sebagai jenayah yang perlu ditangani dan telah memberikan komitmen beliau untuk berbuat demikian.

"Saya yakin komitmen Presiden Duterte harus dihargai dan bagi pihak PDRM dan semua agensi-agensi penguatkuasaan mengucapkan terima kasih kepada komitmen yang dinyatakan oleh Presiden Duterte," katanya.

Semalam, Associated Press memetik Duterte sebagai berkata bahawa beliau memberitahu Najib dan Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mengebom militan yang melarikan diri bersama-sama dengan tebusan mereka.

"Bom mereka. Jika mereka tidak boleh ditangkap anda bom mereka.

"Bagaimana pula dengan tebusan? Eh, bom mereka juga. Mereka tidak sepatutnya berada di sana, terdapat amaran," beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen