malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kurang keyakinan akibat 1MDB sebabkan kejatuhan ringgit - Jomo
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 11:23 AM
Dikemaskini: 3:32 AM
ADS

Pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram berkata nilai ringgit akan terus menurun kerana faktor luaran seperti harga minyak global dan kurangnya keyakinan akibat skandal 1MDB.

"Apa yang membimbangkan dalam tempoh satu setengah tahun yang lalu, ringgit telah semakin merosot.

"Ini bukan semata-mata disebabkan oleh kejatuhan minyak mentah. Terdapat banyak faktor lain di belakangnya, termasuk hilangnya keyakinan terhadap kerajaan kerana semakin banyak pendedahan dibuat mengenai 1MDB," katanya seperti dilaporkan The Edge.

Katanya, krisis keyakinan tersebut adalah sangat serius dan mempunyai implikasi yang besar terhadap Malaysia.

Pakar ekonomi yang sangat dihormati itu berkata demikian kepada pemberita di luar Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara 2017-2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Semalam, Reuters melaporkan ringgit merosot hampir 5 peratus sejak 9 November dan rizab asing negara jatuh sebanyak hampir AS$ 2 bilion dalam tempoh dua minggu lepas.

The Star melaporkan ringgit mencecah paras terendah sejak lapan bulan berbanding dolar AS pada bulan Oktober, dan terus mengalami kejatuhan.

Dua minggu lalu, ia susut kepada 4.458 kepada dolar AS.

Pada masa ini, skandal 1MDB heboh di serata dunia dengan siasatan dilakukan antaranya oleh Switzerland dan Singapura, manakala Amerika Syarikat memfailkan saman sivil bagi mendapatkan semula dana 1MDB yang didakwa 'dicuci' melalui pengubahan wang haram di negara mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen