malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Yang ada roh Islam tak buat begitu, sindir pembantu Rosmah
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 4:24 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

Pembantu kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor hari ini berkata, pemimpin yang ada roh Islam tidak akan sesekali mempersenda dan memperlekehkan Nabi Muhammad SAW.

Teguran tersebut dipercayai ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa Rizal memperlekeh Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan pemimpin Umno seolah-olah menyamakan perdana menteri dengan nabi apabila mengaitkannya dengan kehendak Allah.

Mahathir berkata demikian dalam sidang media persidangan DAP ke-50 pada Ahad yang lalu.

"Lebih-lebih (lagi) didepan parti yang hampir keseluruhannya dipimpin dan dianggotai oleh bukan Islam semata-mata mahu memikat dan mengambil hati parti berkenaan.

"Jangan berlagak lebih-lebih semata-mata nak menghalalkan cara demi mencapai matlamat kerana dihasut politik dendam kesumat," kata Rizal dalam kenyataannya.

Semalam, peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla melancarkan serangan terhadap Rizal dengan menuduhnya menfitnah berhubung dakwaan Mahathir 'memperlekehkan' Nabi Muhammad SAW.

Peguam itu juga mendakwa Rizal tidak mempunyai kebijaksanaan untuk memahami kenyataan Mahathir atau sengaja bertindak memutarbelitkan perkara itu.

Mengimbas ucapan Mahathir, beliau berkata, bekas perdana menteri itu menyatakan bagaimana Najib kononnya membandingkan dirinya kepada Nabi Muhammad SAW.

""Tetapi nabi tak ada RM2.6 bilion dalam akaun dia, juga (tak ada) 1MDB.

"Nabi tidak ada RM2.6 bilion di dalam akaunnya, itulah sebabnya kita memandang tinggi.

"Tetapi Najib, beliau perlu dihadapkan di mahkamah untuk menjawab semua perkara yang telah dilakukannya," ujar Mahathir.

Mengulas mengenai kenyataan Mohamed Haniff itu, Rizal berkata, pihaknya mencabar untuk mengambil tindakan undang-undang jika benar beliau menfitnah.

"Saman jika saya fitnah.

"Dimana fitnahnya. Fitnah jika reka cipta cerita yang tidak ada. Membawa cerita yang Mahathir tidak ucapkan sedangkan peguam Mahathir sendiri mengakui dengan jelas yang apa dikatakan oleh saya tu sebiji seketul apa yang diucapkan oleh Mahathir.

"Kalau sudah diakui ia serupa dengan diucapkan, dimana fitnahnya? Fitnah dengan kenyataan pun takkan sukar sangat nak dibezakan oleh peguam yg konon hebat ini?," tanya Rizal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen