malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita Umno setia membenteng parti - Shahrizat
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 6:14 PM
Dikemaskini: 10:53 AM
ADS

Pergerakan Wanita Umno beriltizam untuk terus setia menjadi benteng parti walau pelbagai dugaan melanda.

Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesetiaan adalah rukun utama perjuangan Wanita dan konsep wala' seperti disuarakan Presiden Datuk Seri Najib Razak telah menjadi amalan sayap itu sejak wujudnya Umno hampir 70 tahun lalu.

"Wanita berbangga kerana Wala' telah menjadi darah daging dan sebati dalam diri kami selama 69 tahun kewujudan Wanita, setia membenteng parti, walau dugaan tiba, kami tak pernah lari," tegasnya.

Shahrizat menjelaskan, kerana kesetiaan itu juga, menjadi semangat mereka untuk membenteng negara daripada campur tangan asing, justeru menggesa penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) disegerakan.

"Kerana kesetiaan inilah, kita membenteng negara daripada campur tangan asing, terutama dalam politik negara, melalui media-media, 'pergerakan sivil' dan penyaluran dana asing.

"Wanita menggesa agar penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik disegerakan supaya petualang negara yang mahu menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia, disiasat dan diheret ke muka pengadilan segera," katanya.

Menyentuh persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Shahrizat berkata Wanita percaya kelangsungan kerajaan menangani isu rakyat merupakan antara faktor utama bagi memenangi pilihan raya itu.

"Wanita percaya, ‘good economics is the best politics today’ (ekonomi baik adalah politik terbaik hari ini). Kita mesti prihatin isu rakyat, isu keluarga mereka, isu harga minyak masak hinggalah isu pekerjaan untuk anak muda, peluang untuk wanita, isu syariah, isu dadah dan lain-lain.

"Jika ini menjadi amalan kita menjelang PRU14, percayalah, tidak ada tohmahan dan fitnah yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional," katanya dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan agung Umno 2016 di PWTC hari ini

Dalam pada itu, Shahrizat juga berharap peluang dan pembabitan Wanita tidak akan dikesampingkan dalam kerajaan merangka dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Pemimpin-pemimpin dan ahli Pergerakan Wanita Umno hari ini mempunyai DNA yang mampu untuk menggalas tugas, membantu presiden dan parti mencapai transformasi negara," katanya.

Selain itu, Shahrizat berkata dalam menghadapi peperangan dunia siber, WanitaMAYA kini menjadi pahlawan digital Wanita Umno di media sosial.

"Wanita selaku juara kebajikan melalui Skuad Sayang, juga telah ditenagakan lagi dengan Skuad Sayang Plus bagi memperluaskan capaian kepada kumpulan sasar dengan kerjasama Wanita BN, NGO dan tenaga pakar kesukarelaan.

"Wanita turut menstruktur semula program keagamaan dan kerohanian melalui penubuhan Skuad An-Nur," katanya.

Sekali lagi menegaskan akan tetap setia di sisi Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, Shahrizat berkata Wanita juga menaruh harapan tinggi bagi 30 peratus anggota pergerakan itu dipilih sebagai calon PRU14, direalisasikan.

Ketua Wanita Umno itu dalam ucapannya turut memyampaikan mesej penting bahawa kesemua legasi yang Wanita perjuangkan hari ini adalah lebuh raya politik untuk Puteri menikmatinya.

- Bernama

Lihat Komen