malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairy: Wala' Pemuda Umno bukan kesetiaan membuta tuli
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 5:54 PM
Dikemaskini: 11:03 AM
ADS

Prinsip wala' atau ketaatan yang diamalkan terhadap pemimpin serta institusi kepemimpinan Umno bukanlah amalan membuta tuli tetapi ia merupakan kesetiaan yang dituntut oleh agama.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata sememangnya setiap anggota perlu menunjukkan kesetiaan mereka selagi arahan yang diberi tidak melampaui batas dan pemimpin tidak melakukan sesuatu perkara yang dilarang agama.

"Ada yang bersangka buruk konon ini kesetiaan membuta tuli... ada yang mungkin kurang memahami... apabila kita bercakap tentang wala' pastinya kita rujuk pada kesetiaan yang dituntut dalam agama.

"Adakah presiden kita seorang pemimpin yang melampaui batas? Adakah presiden kita minta kita lakukan yang dilarang oleh agama?

"Kena faham kenapa 600,000 Pemuda tetap beri wala' pada Datuk Seri Najib (Razak) hingga ke hari ini," katanya dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan agung Umno 2016, yang berakhir hari ini.

Beliau berkata perhimpunan tahunan yang dijadikan platform untuk melontar suara anak muda dan aspirasi golongan itu saban tahun, memperlihatkan pelbagai iniatif membela rakyat dizahirkan oleh Najib.

Khairy berkata sejak beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda Umno lapan tahun lalu, isu-isu yang menyelubungi golongan muda seperti gaji minimum, hak berpolitik mahasiswa dan juga kos sara hidup dapat diberi perhatian serius oleh parti.

"Setiap tahun kita bawa cadangan dan aspirasi anak muda, bagaimana untuk ringankan, bagaimana hendak bantu... saya tidak minta dedak, ini semua bukan untuk kepentingan peribadi saya, tetapi kita minta untuk rakyat.

"Bila kita minta gaji minimum dilaksanakan, Datuk Seri Najib laksanakan. Bila kita minta untuk pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti, Datuk Seri Najib pinda.

"Bila kita tengok rakyat tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi seperti kenaikan tol dan pengangkutan awam, sekali lagi Datuk Seri Najib bantu ringankan... bila dia turuti, maka wajib kita sokong," katanya.

Khairy berkata beliau sendiri walaupun tidak punya jawatan dalam kabinet pada penggal pertama sebagai ketua pemuda, beliau langsung tidak merajuk atau berdendam, malah terus setia dan istiqamah dengan kepimpinan Najib.

Menyentuh tentang peranannya yang bertindak sebagai panglima perang Tariq ibn Ziyad, Khairy dengan semangat berkobar-kobar meyakinkan pergerakan akan melaksanakan amanah yang diberikan.

"Pemuda mahu menjadi batu Jabal Tariq dalam memperkukuhkan Umno dan mempertahankan institusi... dalam Pemuda bukan hanya saya seorang tetapi 600,000 Tariq Ibn Ziyad bersama Najib," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen