malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gol ajaib Mohd Faiz Subri dinobat antara 3 terbaik
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 3:29 PM
Dikemaskini: 1:35 PM
ADS

Aksi jaringan penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri tersenarai sebagai antara tiga calon utama yang akan memasuki pusingan akhir untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut laman FIFA.com, dua calon lain yang akan berentap dengan Mohd Faiz ialah Johnath Marlone dari Brazil dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Pemenang di antara ketiga-tiga mereka akan menjulang anugerah berkenaan yang akan disampaikan pada majlis di Zurich pada 9 Januari akan datang.

Sebelum ini, Bernama melaporkan, setakat jam 2 petang tadi, 1,348,827 penonton telah menyaksikan video gol ajaib jaringan penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri sekali gus mengatasi jumlah tontotan jaringan pemain lain seperti Lionel Messi dan Neymar.

Jaringan itu tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk seterusnyadipilih menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Gol sepakan gunting pemain kelab Corinthians dari Brazil pula, Johnath Marlone berada di tempat kedua dengan tontonan sebanyak 885,572 kali sementara gol sepakan percuma Messi di tempat ketiga dengan 879,423 tontonan.

Calon lain bagi anugerah itu ialah Mario Gaspar (Villareal/Sepanyol), Hlompho Kekana (Mamelodi Sundowns/Afrika Selatan), Saul Niguez (Atletico Madrid/Sepanyol), Hal Robson-Kanu (West Bromwich Albion/Wales), Simon Skrabb (Gefle IF/Finland) dan Daniuska Rodrigue (Venezuela).

Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi laman web rasminya www.fifa.com pada 19 November lepas menyenarai pendek 10 gol menarik dari tempoh 30 September 2015 hingga 30 September 2016 untuk dipilih diberi Anugerah Puskas FIFA.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang untuk mengundi gol jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA di
www.fifa.com/the-best-fifa-football-awards/puskas-award/ yang undiannya ditutup hari ini.

Lihat Komen