malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan tuding jari pada MCA sahaja, kata Zahid
ADS

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sependapat dengan MCA bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus dipersalahkan kerana trend pengundian masyarakat Cina.

Bagaimanapun, beliau yang juga timbalan perdana menteri itu berkata, anggota parti rakan komponen BN harus menggamit semula DNA parti masing-masing untuk bersama mendokong calon BN.

"Ini harus difahami atas rasa kebersamaan antara parti-parti komponen BN.

"Kita tidak perlu menuding jari tetapi saya fikir kita mesti mengambil beberapa langkah positif untuk berada di dalam satu pemikiran bahawa siapa sahaja dicalonkan mewakili BN semua jentera parti harus bekerjasama dengan kuat untuk memperkasakan semua calon kita untuk kemenangan.

"Ya, kita mempunyai anggota parti masing-masing dan kita harus jaga serta mengikut keanggotaan parti masing-masing," kata Zahid dalam sidang media di Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, parti-parti komponen BN tidak harus dipersalahkan kerana trend pengundian masyarakat Cina.

Semua parti-parti komponen bertanding sebagai calon BN dalam pilihan raya dan keputusan yang terhasil adalah daripada usaha bersama semua pihak.

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dalam ucapannya pada perhimpunan berkenaan semalam berkata, sokongan berterusan kepada DAP mungkin akan memakan diri dan semakin memencilkan masyarakat Cina di negara ini selain mungkin akan membawa kesan cukup besar kepada landskap politik tanahair.

"Ditambah dengan pengukuhan (kedudukan) parti-parti politik bumiputera di Sabah dan Sarawak, tidakkah ini akan merubah landskap politik negara dengan wujudnya dominasi Melayu (dan) bumiputera dalam pembentukan kerajaan?" katanya.

Dalam keadaan begitu, kata Khairul Azwan, akan wujud desakan dan tekanan kuat seperti meminta kerajaan mengurangkan tumpuan kepada sekolah aliran Cina.

Malah, katanya, sudah wujud tuntutan supaya sekolah berkenaan dihapuskan saja dan ia dibuat bukan saja di kalangan orang politik malah kumpulan profesional serta ahli akademik.

Kemungkinan lain yang dibayangkan Khairul Azwan jika DAP terus mendapat sokongan komuniti Cina ialah pemindahan sektor strategik seperti pengangkutan dibawa ke negeri dikuasai BN.

Lihat Komen