malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi taklimat berkenaan usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi pihak Datuk Seri Abdul Hadi dianggap seperti "ada udang di sebalik batu".

Perkembangan itu juga dilihat Anggota Parlimen (MP) Shah Alam Khalid Samad sebagai bukti wujudnya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Katanya, sangat menghairankan apabila usul persendirian itu datang daripada Abdul Hadi (PAS-Marang) tetapi yang mengadakan majlis taklimat mengenainya - walaupun atas kapasiti peribadi - adalah Ahmad Zahid.

“Ia menunjukkan ada udang di sebalik batu, ada tanda tanya politik yang perlu kita baca dan faham sejak awal lagi… ia ada kepentingan politik,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menghantar jemputan kepada anggota parlimen beragama Islam untuk menghadiri sesi perjumpaan dan taklimat berhubung usul dibawa Abdul Hadi.

Taklimat itu turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selepas pertemuan itu Ahmad Zahid mengesahkan usul dibawa presiden PAS untuk meminda Akta 355 itu akan dibentangkan sama ada hari ini atau esok.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir esok.

Mengapa tiada MP bukan Islam

Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata perkembangan yang berlaku semalam adalah bukti wujud kerjasama erat antara pembawa usul itu (Abdul Hadi) dengan kerajaan.

"Kita hairan kerajaan bersetuju dengan usul itu. (Jika ia memang dipersetujui) kenapa kerajaan sendiri tak bawa?

Mengulas lanjut Khalid berkata sebelum ini Jamil Khir membangkitkan bahawa timbul kekeliruan di kalangan orang bukan Islam mengenai cadangan pindaan Akta 355 itu.

“Jamil Khir kata ada banyak kekeliruan dan salah faham khususnya orang bukan Islam mengenai RUU 355.

“Kalau itu keadaannya kenapa MP bukan Islam tidak dijemput? Dalam keadaan begitu (ia seakan-akan) menunjukkan orang Islam sedang berkomplot.

“Ia akan menimbulkan salah faham dan buruk sangka. Banyak salah faham (tetapi) kenapa MP bukan Islam tidak dijemput bersama,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata beliau telah menerima surat tuntutan saman daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pagi tadi.

Ia merujuk kepada kenyataan Khalid yang melabelkan Tajuddin sebagai "sial" selepas MP Pasir Salak itu enggan memohon maaf kepada Teresa Kok.

Sebelum itu Tajuddin menggelar anggota parlimen DAP untuk Seputeh itu sebagai wanita dengan 'Kok'.

“Saya sudah dapat surat tuntutan saman itu pagi tadi. Saya rasa ia bukan kali pertama Tajuddin buat macam itu…

“Saya akan buat sidang media selepas dapat surat saman nanti,” katanya.

Lihat Komen