malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
OSA: Mahkamah jatuhkan penjara 18 bulan ke atas Rafizi
ADS

Setiausaha Agung PKR yang juga Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) hari ini dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan memutuskan Rafizi gagal membangkitkan keraguan munasabah atas dakwaan yang dikenakan ke atasnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Justeru beliau didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan ia didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta yang sama.

Setiap satu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Rafizi diwakili peguam Gobind Singh manakala Shukor Abu Bakar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Ketika sepatutnya membela diri pada 6 Oktober lalu Rafizi berkata beliau tidak dapat berbuat demikian kerana keseluruhan halaman 98 laporan mengenai 1MDB itu tidak pernah dikemukakan dalam mahkamah.

Zulqarnain kemudiannya memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak hari ini.

Dalam penghakiman, Zulqarnain berkata mahkamah mendapati tertuduh memiliki dan mendedahkan halaman 98 itu seperti yang dikemukakan dalam mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan penangguhan bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen