malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Rasis bagi DAP mahu kurangkan penjawat awam'
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 5:54 PM
Dikemaskini: 12:54 PM
ADS

Seorang wakil rakyat Umno membidas ahli parlimen DAP Tony Pua atas dakwaan mahu penjawat awam di negara ini dikurangkan kerana ia terlalu besar dan membebankan kewangan kerajaan.

Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul berkata Pua tidak mengenang dan menghargai kerja keras penjawat awam sebagai golongan yang menjadi tulang belakang kejayaan negara.

Menurut beliau, ini bukan kali pertama bahawa pemimpin pembangkang, khususnya dari DAP, membuat komen negatif mengenai kakitangan perkhidmatan awam.

“Dulu, salah seorang pemimpin pembangkang pernah membuat kenyataan menyifatkan penjawat awam sebagai kucing kurap.

“Saya tidak pasti apakah kenyataan tersebut terbit daripada sentimen rasis pihak tertentu yang mungkin melihat peratusan penjawat awam di negara ini lebih ramai yang berbangsa Melayu.

“Namun kenyataan seperti itu cukup untuk memperlihatkan bahawa pihak pembangkang tidak menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam yang bekerja untuk membangunkan negara,” katanya yang dipetik portal Umno Online.

Tambah Othman, penjawat awam adalah jentera kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan jumlah penjawat awam yang ada di negara ini bersesuaian dengan dasar-dasar kerajaan yang mahu ataupun telah dilaksanakan.

“Sebab itu kita tidak mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini, kerana jumlah penjawat awam yang sedia ada hari ini cukup untuk melaksanakan segala program dan dasar-dasar kerajaan pada masa kini dan akan datang.

“Kerajaan sedia ada hari ini amat menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam tugas mereka untuk melaksanakan segala dasar-dasar kerajaan dan disebabkan itulah, dalam bajet 2017 baru-baru ini, penjawat awam yang berstatus kontrak terus disambung hingga tahun hadapan.

“Ini memperlihatkan kerajaan BN hari ini menghargai sumbangan penjawat awam, malah memberi pelbagai insentif untuk kemudahan mereka dan ini amat berbeza dengan pihak pembangkang yang hanya tahu memperlekeh dan menghina penjawat awam di negara ini,” katanya.

Pua pada sebuah forum dalam bahasa Mandarin bertajuk "Menganalisis Bajet 2017" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, 24 Oktober lalu, berkata dengan peruntukan 36 peratus daripada Bajet 2017 kepada emolumen kakitangan awam, ada desakan supaya sektor awam yang kini dianggap terlalu besar diperkecilkan.

Walau bagaimanapun, katanya, mengurangkan saiz perkhidmatan awam mampu menjadi penyelesaian yang berdaya maju, sekiranya pembangkang mengambil alih Putrajaya.

Malah, katanya, mengurangkan jumlah kakitangan sektor awam akan mengganggu seluruh perkhidmatan awam dan melumpuhkan operasi kerajaan.

 

Lihat Komen