malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir bagai kereta antik di litar lumba F1
ADS

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kedatangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke bangunan parlimen hari ini seperti "membawa kereta antik ke perlumbaan Formula 1".

Bercakap kepada media Annuar memberitahu kemunculan bekas perdana menteri itu bersama anggota parlimen daripada pembangkang adalah "isu kecil".

“Jawapan saya sangat mudah - membawa Dr Mahathir ke parlimen (tidak ubah) seperti bawa kereta antik ke perlumbaan F1.

“Cantik untuk dilihat tetapi tidak relevan untuk berlumba,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir hari ini muncul di parlimen bersama pemimpin pembangkang untuk menghadiri mesyuarat khas berkaitan hak-hak dan kekebalan anggota parlimen.

Ia adalah kali pertama untuk pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menjejakkan kaki ke bangunan itu sebagai pembangkang.

Mengiringi Dr Mahathir ialah termasuk bekas seteru ketatnya dalam politik, iaitu Lim Kit Siang (DAP) dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dilihat semakin dekat dengan pembangkang sejak akhir-akhir ini, tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

Masih suka Husni

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau sentiasa berhubung dengan Ahmad Husni dan sentiasa mengekalkan hubungan dengannya walaupun membangkitkan isu 1MDB semasa berbahas di parlimen.

“Saya sentiasa berhubung dengan Husni. Walaupun selepas beliau membuat ucapannya di parlimen, saya mengekalkan hubungan dengan dia, dan saya berkongsi beberapa pandangan beliau," katanya.

Menurut Annuar pendiriannya adalah jelas - selagi Ahmad Husni melaksanakan haknya untuk bercakap di parlimen dan di tempat yang betul, anggota parlimen Tambun itu tidak boleh dipersalahkan.

Sebaliknya kata Annuar, kedudukan Ahmad Husni bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa ke atasnya.

Dalam pada itu secara peribadi Annuar berpendapat beliau tidak melihat kenyataan Ahmad Husni sangat pelik, malah kerajaan boleh mengambil peluang itu untuk menerangkan kedudukan terkini 1MDB.

“Kalau tanya pendapat peribadi saya, saya tak lihat ia sesuatu yang pelik dalam ucapannya. Dia ada tanya beberapa soalan, termasuk beberapa soalan yang mereka cakap Ahmad Husni dah jawab sendiri.

“Saya ada tanya Husni apa yang dia maksudkan dalam sesetengah soalan yang dia tanya, dia jelaskan pada saya yang dia mahu tahu kedudukan terkini (1MDB)," katanya.

Annuar juga berpendapat isu sebenar bukanlah terletak pada Ahmad Husni secara peribadi.

"Saya masih menghormati Husni dan sukakan dia,” katanya.

Lihat Komen