malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Audit semula 1MDB atau sahkan cubaan tutup skandal'
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 3:17 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Kerajaan perlu melantik juruaudit baru bagi mengaudit semula akaun 1MDB yang telah ditinggalkan oleh Deloitte Malaysia, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Ketua Publisiti DAP itu berkata ini akan membantu mendedahkan kebenaran tentang skandal 1MDB.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada audit semula ke atas akaun 1MDB bagi tahun kewangan berakhir Mac 2013, beliau berkata ini akan mengesahkan cubaan untuk menutup skandal berkenaan.

"Ini hanya mengesahkan apa yang rakyat Malaysia suspek hari ini adalah benar - bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan BN berusaha keras cuba menutup skandal rasuah terbesar negara, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam sejarah Malaysia," kata Pua pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Deloitte berkata audit ke atas akaun 1MDB bagi tahun 2013 dan 2014 tidak lagi boleh pakai. Ini berikutan saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang mendakwa dana lebih AS$ 3.5 bilion diselewengkan daripada firma pelaburan negara itu.

Pua berkata beliau pada 18 Oktober lalu, meminta Najib supaya akaun berkenaan diaudit semula.

Walau bagaimanapun, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Kementerian Kewangan berkata akaun yang diaudit oleh Deloitte adalah "benar dan telus" menurut urusan 1MDB ketika itu.

Tetapi menurut Pua, apa yang dipercayai oleh lembaga pengarah 1MDB adalah tidak relevan kerana akaun berkenaan telah tidak lagi terpakai.

Deloitte mengumumkan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai juruaudit 1MDB pada awal tahun ini, tetapi 1MDB masih belum dapat mencari pengganti mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen