malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'NGV di 67 stesen Petronas bakal beroperasi semula'
Diterbitkan:  Nov 8, 2016 1:26 PM
Dikemaskini: 5:31 AM
ADS

Perkhidmatan Gas Asli Kenderaan (NGV) di 67 stesen Petronas di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor yang digantung ketika ini akan beroperasi semula secara berperingkat dalam tempoh sebulan dua lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pada masa ini perkhidmatan itu dalam proses penambahbaikan taraf prosedur keselamatan untuk memastikan ia dalam keadaan terbaik.

"Kita minta pemandu teksi bersabar kerana penambahbaikan ini adalah untuk kebaikan dan keselamatan pemandu teksi," katanya ketika menjawab soalan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) pada sesi pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ong ingin tahu tindakan yang sedang dan akan diambil untuk membantu pemandu teksi yang kehilangan tambang akibat daripada penutupan stesen Petronas NGV di seluruh Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau ingin mengetahui sama ada Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan memberi pampasan kepada pemandu teksi yang kehilangan tambang sejak perkhidmatan NGV itu ditutup.

Pada 30 Okt lalu, PDB mengumumkan menutup sementara perkhidmatan NGV di 67 stesennya di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor untuk tujuan penambah baikan prosedur keselamatan.

Langkah itu susulan kematian seorang kontraktor akibat daripada letupan dan kebakaran dipercayai berpunca daripada tangki NGV Petronas di Johor Bahru.

Sementara itu, Abdul Rahman menafikan kesemua perkhidmatan NGV di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor ditutup kerana masih terdapat perkhidmatan NGV di 61 stesen Petronas termasuk 22 di Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya untuk sementara waktu pemandu teksi masih boleh menggunakan bahan bakar alternatif selain NGV sehingga kesemua perkhimatan berkenaan beroperasi semula.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata buat masa ini PDB masih belum bercadang untuk memberi pampasan kepada pemandu teksi yang didakwa kehilangan pendapatan akibat penutupan perkhidmatan NGV itu.

- Bernama

Lihat Komen