malaysiakini logo
story-image
ADS

Kesatuan Mahasiswa Malaysia merancang mengadakan protes di depan parlimen Rabu ini sekiranya kerajaan tidak memberi sebarang respon berhubung isu pemotongan belanjawan universiti awam.

Pengerusi kumpulan berkenaan, Anis Syafiqah Md Yusof, berkata mereka mengesa kerajaan mengkaji semula potongan belanjawan terhadap universiti awam serta membatalkannya.

Ini kerana yuran universiti didakwa akan dinaikkan manakala kos pengurusan universiti akan dikurangkan.

Keadaan itu didakwa akan memberi kesan kepada mahasiswa.

"Sedikit demi sedikit kos pengurusan universiti dikurangkan dan menyebabkan impak yang akhirnya memberi kesan kepada mahasiswa.

"Justeru kami menuntut agar pemotongan belanjawan universiti dibatalkan dan dikaji semula.

"Sekiranya tiada respon daripada kerajaan berkenaan isu ini, kami tidak akan teragak-agak untuk mengadakan protes di hadapan parlimen," katanya di ibu negara hari ini.

Dalam pembentangan belanjawan 2016, potongan kedua terbanyak dibuat kerajaan melibatkan kementerian pengajian tinggi apabila belanjawannya dikurangkan RM2.4 bilion kepada RM13.378 bilion.

Penyelidikan terbantut

Untuk menanganinya, dana untuk universiti awam dikurangkan sebanyak RM1.442 bilion.

Bagi tahun 2017 pula, potongan keseluruhan bagi kementerian pengajian tinggi ialah sebanyak 10.27 peratus iaitu daripada RM13.378 bilion kepada RM12.132 bilion.

Peruntukan universiti awam pula telah dikurangkan sebanyak 23.80 peratus dari RM7.573 bilion kepada RM6.117 bilion.

Menurut Anis antara universiti awam yang terjejas teruk akibat pengurangan peruntukan itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) - yang menyaksikan bajet masing-masing berkurangan sebanyak 45 peratus, 42 peratus, 43 peratus dan 33.69 peratus.

Sementara itu Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Asheeq Ali pula memberitahu pengurangan belanjawan yang berlaku menjejaskan penyelidikan yang ingin dibuat pihak universiti

Katanya, tanpa peruntukan untuk projek penyelidikan ia bukan saja memberi impak kepada pihak universiti tetapi rakyat di negara ini secara keseluruhan.

"Sebagai contoh Universiti Malaya (UM) pada tahun lalu mendapat RM100 juta untuk menjalankan penyelidikan tetapi tahun ini hanya RM40 juta.

"Ia memberi impak besar juga kepada rakyat kerana penyelidikan menjadi antara fungsi utama sesebuah universiti.

"Contoh lain ialah pada tahun ini apabila pakar virologi dari UM Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang tidak dapat menjalankan penyelidikan tentang virus Zika kerana tak ada peruntukan daripada kerajaan," katanya.

Lihat Komen