malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Konvoi BERSIH diganggu, dibaling telur di Melaka
ADS

Konvoi BERSIH diganggu dan dibaling telur ketika kumpulan reformasi pilihan raya itu mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di Melaka.

Konvoi itu sepatutnya meliputi beberapa lokasi iaitu Merlimau, Alor Gajah dan Tampin tetapi diganggu di dua destinasi berkenaan.

Sekitar tengah hari, konvoi 40 hingga 50 kenderaan BERSIH disambut dengan bantahan oleh anggota-anggota Umno tempatan.

Berdasarkan laman Facebook BERSIH (versi mandarin), mereka dibaling telur oleh kumpulan berkenaan.

Ia juga memuat naik gambar seorang aktivis BERSIH yang dibaling telur di kepalanya.

Ketika dihubungi, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Fadiah Nadwa Fikri yang merupakan sebahagian daripada anggota konvoi itu berkata, kumpulan itu cuba untuk menanggalkan bendera BERSIH dan kain rentang daripada kenderaan mereka.

"Tetapi tidak ada konfrontasi fizikal, hanya jeritan, ugutan dan semua itu" katanya kepada Malaysiakini.

Masalah itu tidak berakhir di situ kerana mereka sekali lagi bertemu dengan bantahan di Alor Gajah pada sebelah petang.

"Mereka (kumpulan anti-BERSIH) menutup kawasan di mana kita sepatutnya berkumpul.

Mereka menjerit dan sebahagian daripada kumpulan itu memegang sepanduk, poster dan pelekat, kata Fadiah.

"Polis juga menutup jalan itu jadi kita tak boleh lalu," katanya.

Fadiah juga mendakwa beberapa anggota Umno yang memakai logo parti itu menjerit "Yahudi" pada konvoi BERSIH.

"Saya mengambil gambar-gambar mereka dan mereka juga mengambil gambar saya. Telefon bimbit mereka ada logo Umno," katanya.

Fadiah berkata konvoi itu terpaksa meneruskan destinasi mereka ke Tampin.

"Di Tampin semuanya baik. Kita telah menyerahkan obor BERSIH kepada pasukan Negeri Sembilan," katanya.

Konvoi itu merupakan sebahagian daripada kempen bergerak di seluruh negara untuk menggalakkan perhimpunan pada 19 November.

Perhimpunan BERSIH5 antara lain, menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Lihat Komen