malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pandikar: Mahu PM tarik pelabur atau jawab soalan tak relevan?
ADS

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjawab pertanyaan mengenai rekod buruk kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Parlimen dengan membangkitkan persoalan tersendiri.

"Adakah pelaburan asing RM144 bilion penting (atau Najib) duduk di sini dan lihat wajah yang sama dan kemudian mereka (anggota parlimen) bertanya soalan yang tidak relevan.

"Yang mana satu (anda mahu?)" Soal Pandikar kepada pemberita pada sidang akhbar di bilik resepsi parlimen hari ini.

Jumlah pelaburan RM44 bilion yang disebut Pandikar adalah perjanjian dua hala yang dimeterai antara Najib dan kerajaan China dalam lawatan rasminya ke negara itu.

Pandikar berkata, perdana menteri mempunyai urusan yang perlu dilakukan dan tawaran pelaburan yang diperoleh daripada China adalah untuk kebaikan negara.

Ditanya sama ada beliau akan berusaha untuk melaksanakan sesi soal jawab perdana menteri selepas berjaya melaksanakan sesi soal jawab menteri, Pandikar menyatakan ketidakpastiannya.

"Apa yang akan anda lakukan jika anda berada dalam kedudukan saya?" soalnya kepada wartawan tersebut.

Apabila wartawan itu menjawab dia akan cuba melaksanakan sesi soal jawab perdana menteri, Pandikar berkata: "Ok, saya akan cuba."

Minta Najib hadir jawab isu derma

Sementara itu dalam sidang media berasingan, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menggesa Najib hadir sidang parlimen minggu depan untuk menjawab isu sumbangan berjumlah RM2.6 bilion.

Ia berikutan kegagalan beliau mendapatkan penjelasan timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu.

“Beliau (Zahid) elak jawab soalan itu, tetapi apa yang kita lihat bahawa yang amat berhormat menyatakan jelas perkara itu akan dijawab oleh kementerian kewangan.

“Saya selaku ahli parlimen, saya memohon supaya menteri kewangan sendiri iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga ahli parlimen Pekan hadir di dewan pada sesi jawapan kementerian beliau dan jawab secara sendiri soalan-soalan ini,” katanya.

Semalam Zahid mengelak untuk menjawab soalan Gobind sama ada siasatan polis terhadap sumbangan bernilai RM2.6 bilion kepada Najib sudah dibuka kembali apabila maklumat menunjukkan ia sebenarnya bukanlah derma.

Ia merujuk kepada beberapa dakwaan - termasuk oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat - yang menyatakan dana itu bukan datang daripada hartawan Arab sebaliknya berasal daripada 1MDB.

Lihat Komen