malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
5 persoalan Bajet 2017 berkaitan sektor air dan tenaga
ADS

ULASAN Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia telah mengkaji perincian Belanjawan 2017 yang disediakan oleh Kementerian Kewangan dan telah membandingkannya dengan Rancangan Malaysia (RMK) ke-9, 10 dan 11.

Komen terperinci kami adalah seperti berikut:

Sektor perkhidmatan air (perawatan dan bekalan air serta pembentungan)

Perdana Menteri mengumumkan tentang kepentingan untuk melindungi kawasan tadahan air dan beliau menekankan kepentingan peranan kerajaan-kerajaan negeri.

AWER berharap dua kaedah iaitu tarif air mentah berdasarkan kualiti air mentah dan faktor beban pencemaran bagi penambahbaikan piawaian air sisa yang dibentangkan oleh AWER kepada Kementerian Kewangan (MOF) boleh diguna pakai untuk memastikan perlindungan kawasan tadahan air di hulu dan hiliran supaya penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan sumber air dapat dicapai.

Mengenai pembentukan Tabung Bekalan Air dengan peruntukan RM500 juta, kami menggesa MOF meletakkan dana ini bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

SPAN adalah pengawal selia teknikal, perkhidmatan dan ekonomi bagi perkhidmatan air dan mereka berada pada kedudukan yang lebih sesuai untuk menguruskan dana ini bagi menangani isu-isu bekalan air.

Peruntukan ini perlu dikhususkan untuk menyelesaikan perbelanjaan modal (CAPEX) yang berkaitan krisis air sahaja.

CAPEX sebegini boleh dikaitkan dengan menaik taraf kapasiti perawatan air, menambah atau meningkatkan kapasiti kemudahan perawatan pencemaran dan menambah tangki perkhidmatan (service reservoir) untuk meningkatkan margin simpanan di zon-zon bekalan yang tekanan air rendah.

CAPEX biasa dan perbelanjaan operasi tidak boleh disokong oleh dana ini.

Projek Air Tidak Terhasil (NRW) negara telah diperuntukkan RM15 juta pada tahun 2017. Tidak ada peruntukan pada 2016.

Bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN), operator-operator air berlesen boleh mendapatkan sumber kewangan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Melalui Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan, sumber kewangan projek-projek NRW juga telah diambil kira.

Kerajaan tidak perlu risau mengenai sumber kewangan bagi projek-projek ini. Perkara yang paling penting adalah memastikan semua operator air negeri menstruktur semula bawah model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Pemberian peruntukkan terus adalah bertentangan dengan objektif pelaksanaan PSIPAN. AWER juga menggesa SPAN untuk mengaktifkan semula NRW reduction task force yang dicadangkan oleh AWER pada tahun 2011 dan telah pun diluluskan oleh kabinet pada waktu itu.

Semua projek NRW mesti mengikut keperluan output yang ketat berdasarkan cadangan-cadangan kami dengan memberi keutamaan kepada penggabungan parameter zon NRW paling kritikal dengan sambungan tertinggi bagi setiap kilometer (km). Ini akan membolehkan pulangan yang tinggi ke atas pelaburan.

Projek Pembetungan Kebangsaan telah diperuntukkan RM 9.031 billion. RMK10 menggunakan RM 1.407 bilion daripada peruntukan itu.

Pada 2016, sebanyak RM 572.12 juta telah diperuntukkan dan pada 2017 pembiayaan langsung berjumlah RM 321.17 juta dan pinjaman berjumlah RM 189.5 juta telah diperuntukkan.

Sehingga kini, sejumlah RM2.490 bilion (27.6 peratus) telah diperuntukkan.

Berdasarkan perbincangan AWER dengan pihak berkepentingan industri, perpaipan pembetungan untuk zon-zon dengan tangki septik individu boleh dibina tetapi ini tidak bermakna sambungan yang lebih tinggi kepada perkhidmatan tersebut dapat dicapai.

Ini mungkin juga berakhir sebagai pembaziran wang rakyat. AWER menggesa ketua audit negara mengaudit projek-projek ini dan SPAN mesti mempunyai kuasa pengawal seliaan sepenuhnya ke atas bahagian teknikal dan ekonomi projek-projek ini.

Sebahagian masalah ini juga berlaku disebabkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) sebagai agensi bertindih tugas masih dibenarkan untuk terus wujud.

Di samping itu, kami menggesa MOF untuk membatalkan perjanjian konsesi IWK untuk memastikan pelaksanaan PSIPAN berjalan dengan lancar.

Langkah ini juga akan menyelesaikan masalah kewangan IWK serta menjadikan industri pembentungan menjadi mampan.

Sektor Pengangkutan

Penggunaan akhir tenaga (final energy use) bagi sektor pengangkutan di Malaysia bagi 2014 ialah 46.59 peratus.

Ia agak tinggi dan sumber tenaga perlu digunakan bagi sektor yang memberikan output ekonomi yang tinggi dengan input tenaga yang lebih rendah.

Peningkatan rangkaian pengangkutan awam akan membantu mengurangkan kebergantungan tinggi sektor pengangkutan terhadap sumber tenaga.

Jaringan daripada pengangkutan berasaskan rel ke bas-bas bandar serta sambungan ke kawasan luar bandar perlu dikaji semula dan mesti diperbaiki.

Ia adalah berita baik bahawa kerajaan akan meneruskan janjinya untuk menambah baik pengangkutan awam.

Akan tetapi, kos pengangkutan awam mestilah lebih rendah daripada kos menggunakan kenderaan persendirian untuk membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Di samping itu, pelaksanaan pelabelan kecekapan tenaga bagi kenderaan persendirian dan komersial adalah satu kemestian.

Ini akan membantu untuk melaksanakan piawaian prestasi minimum tenaga atau MEPS untuk kenderaan, sama seperti peralatan elektrik.

Langkah tersebut akan menghalang kenderaan yang tidak cekap tenaga daripada memasuki pasaran Malaysia serta dijual kepada pengguna domestik dan perniagaan.

Ini adalah satu langkah yang penting kerajaan perlu laksanakan untuk mengurangkan kebergantungan tinggi sektor pengangkutan terhadap sumber tenaga.

Bekalan air dan elektrik luar bandar

Jumlah kos projek untuk bekalan elektrik luar bandar adalah RM3.321 bilion. Pada 2016, sejumlah RM747.0 juta telah diperuntukkan.

Bagi 2017, RM462.0 juta diperuntukkan untuk tujuan ini. Sebanyak 36.4 peratus daripada peruntukan dijangka akan digunakan pada akhir 2017.

Sebaliknya, jumlah kos projek bekalan air luar bandar adalah RM10.092 bilion. Sehingga 2016, sejumlah RM 490.48 juta telah diperuntukkan.

Bagi 2017, RM632.40 juta diperuntukkan untuk tujuan ini. Hanya 11.13 peratus daripada peruntukan itu akan digunakan pada akhir 2017.

Kami juga menggesa spesifikasi teknikal untuk diseragamkan di seluruh pelaksanaan projek supaya kualiti projek-projek bekalan air dan elektrik luar bandar diselenggarakan dengan baik.

Pelantikan tenaga kerja daripada penduduk tempatan untuk menyelia penyelenggaraan asas projek-projek ini juga akan membantu dalam memastikan kejayaan dalam projek-projek ini.

Baik pulih (overhaul) pengurusan Suruhanjaya Tenaga

Akta Bekalan Elektrik dan Akta Suruhanjaya Tenaga jelas menentukan peranan dan tugas Suruhanjaya Tenaga.

Sektor tenaga elektrik, bekalan gas asli, kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui mesti dipusatkan bawah Suruhanjaya Tenaga.

Mekanisme berasaskan output hendaklah dibangunkan untuk memastikan Suruhanjaya Tenaga melaksanakan keputusan yang menyalurkan penjimatan kepada tarif elektrik dan bukan sebaliknya.

Kegagalan Suruhanjaya Tenaga untuk melakukannya harus dikenakan hukuman yang berat. Mengapakah rakyat dan perniagaan perlu membayar tarif elektrik yang lebih tinggi akibat daripada ketidakcekapan dan ketidakupayaan Suruhanjaya Tenaga?

Pemusatan juga akan mengurangkan politik pejabat serta pertindihan peranan. Ia akan mengoptimumkan modal insan dan juga untuk memastikan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara seragam.

Kami juga menyeru kerajaan membatalkan semua penganugerahan loji janakuasa secara rundingan terus bagi memenuhi ikrar yang dibuat oleh kerajaan dalam RMK10 dan RMK11.

Loji janakuasa baru perlu dibina melalui bidaan berdaya saing yang telus.

Tutup agensi bertindih peranan di KeTTHA, sejajar dengan RMK11

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan IWK.

Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan PAAB, SPAN dan operator air.

Untuk sektor tenaga dan teknologi hijau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Yayasan Hijau mesti ditutup.

SEDA diilhamkan kerana politik pejabat dan bukannya keperluan dasar negara yang sebenar.

Yayasan Hijau pada dasarnya melakukan beberapa kerja yang sebelum ini dilakukan oleh GreenTech Corporation Malaysia. Fungsi SEDA boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau boleh dijalankan oleh GreenTech Corporation Malaysia.

Kita juga tidak mahu sebarang percubaan untuk mengurangkan fungsi Suruhanjaya Tenaga, PAAB, SPAN, IWK atau operator air. Kedua-dua JBA dan JPP mesti ditutup dan kakitangannya boleh diserap kepada SPAN, PAAB, IWK, operator air atau kekosongan jawatan kerajaan yang lain.

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memimpin melalui teladan untuk menutup agensi-agensi bertindih tugas di bawah KeTTHA.

AWER sangat kecewa bahawa nasihat berulang kali untuk menutup agensi-agensi yang bertindih tugas masih tidak diendahkan.


PIARAPAKARAN S presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Lihat Komen