malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Terengganu kumpul RM35 juta tajaan sukan
Diterbitkan:  Oct 26, 2016 10:28 AM
Dikemaskini: Jul 4, 2017 7:28 AM
ADS

Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu mengumpul penajaan sebanyak RM35 juta untuk dana pembangunan sukan di negeri tersebut bagi tahun depan.

Menteri Besarnya Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penajaan tersebut disumbangkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan pihak swasta.

"Alhamdulillah, kita berjaya mengumpul penajaan sebanyak RM35 juta berbanding tahun lalu RM23 juta... wang penajaan ini akan kita gunakan untuk pembangunan sukan di negeri ini bagi tahun 2017 dan kita sangat berterima kasih kepada penyumbang yang telah memberikan penajaan ini.

"Tabungan penajaan ini akan terus berlangsung dari semasa ke semasa dan kita sedia maklum sukan di Terengganu telah sampai ke tahap yang tertinggi jadi kita nak pastikan pencapaian yang tertinggi ini akan terus di pertingkat kerana bukan senang nak pertahankan kejuaraan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis minum petang bersama penggiat dan penaja sukan serta wakil Olimpik 2016 di sini semalam.

Turut berangkat mencemar duli ke majlis tersebut, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Razif berkata menerusi bajet 2017 yang akan dibentangkan pada bulan November ini, pihaknya juga akan mengumumkan satu skim baharu buat atlet Terengganu yang mewakili negara ke peringkat dunia.

"Saya telah minta supaya Pengerusi Belia Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat untuk melihat dan melaksanakan satu skim yang akan diumum dalam bajet berkait dengan pencapaian atlet yang akan pergi ke peringkat dunia termasuk Road to Olimpik Tokyo.

"Kami sekarang ini sedang memberi fokus kepada atlet supaya dapat meningkatkan pretasi ke peringkat dunia... sebelum ini kita banyak mencipta kejayaan di peringkat negara dan Asia tapi sekarang kami banyak memberi fokus untuk mencipta kejayaan di peringkat dunia," katanya.

Di majlis tersebut, dua atlet basikal negara Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustaffa turut dilantik sebagai Duta Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT2017) sempena tahun melawat negeri tersebut tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.

"Kita sedia maklum Azizulhasni dan Fatehah banyak menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, dan mereka akan menjadi duta untuk mempromosikan TMT2017, mungkin mereka boleh mengibarkan bendera TMT dan juga memakai jersi yang dicop TMT... bila mereka pulang ke negeri ini, kami juga akan adakan program khas untuk mereka termasuk 'roadshow' (jerayawara)," kata Ahmad Razif.

Di majlis itu juga, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan anugerah dan insentif berjumlah RM590,000 berupa wang tunai kepada atlet yang mengharumkan nama Terengganu di peringkat negara dan dunia.

Lapan pemain pasukan hoki Terengganu dan seorang pendaki Gunung Everest, Fairul Adib Mohamad Yusof turut menerima satu lot kediaman setiap seorang manakala atlet lumba basikal negara Azizulhasni menerima sebuah pangsapuri bernilai RM250,000 dan wang tunai RM10,000.

- Bernama

Lihat Komen