malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH: Bahas bajet jangan abai hospital
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 6:41 PM
Dikemaskini: 11:10 AM
ADS

Mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat semata-mata tidak memadai, tetapi kajian serius terhadap semua hospital dan klinik kesihatan kerajaan perlu dilakukan, kata Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata kajian itu perlu dijalankan ke atas semua kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara, terutama membabitkan bangunan lama supaya memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak yang berkenaan.

"Ia termasuk laluan keluar wad kecemasan yang terhad, sempit serta penuh dengan peralatan perubatan menyebabkan kerja mengendali pesakit yang ramai ketika keadaan cemas menjadi sukar.

"Pendawaian semula juga perlu dibuat khususnya bagi bangunan lama hospital supaya memenuhi spesifikasi dan syarat Tenaga Nasional Berhad," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Pagi tadi enam orang terkorban dan 10 lagi cedera - termasuk dua yang perlu ditempatkan di ICU Hospital Sultan Ismail - apabila unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru terbakar.

Malaysiakini melaporkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Othman Abdullah berkata seramai 166 anggota bersama 10 jentera dikejarkan ke hospital itu sebaik sahaja panggilan diterima pada jam 8.56 pagi.

"Di ICU itu ada tujuh mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan doktor, terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal. Jadi pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil," katanya dilapor Bernama.

Othman berkata bagaimanapun kebakaran tidak merebak ke tempat lain.

Sambil menyatakan rasa sedih dan takziah Salahuddin berkata tragedi itu diharap dapat mata semua pihak, termasuk kalangan ahli parlimen yang sedang membahaskan belanjawan 2017 di Dewan Rakyat ketika ini.

"Perbahasan belanjawan yang berlangsung di Dewan Rakyat perlu dimanfaatkan oleh ahli-ahli parlimen supaya peruntukan untuk hospital dapat dinaikkan," katanya.

Malaysiakini pada 18 Oktober melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi jaminan isu pemotongan belanjawan untuk hospital dan klinik kerajaan masih terkawal buat masa ini.

Mengakui sebahagian daripada peruntukan kementerian itu dikecilkan Dr Subramaniam berkata hampir semua hospital kerajaan memiliki jumlah bekalan mencukupi.

“Beberapa hospital - disebabkan bebanan yang tinggi - mungkin akan kehabisan bekalan," katanya.

Beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Dr Dr Chen Chaw Ming supaya mengenal pasti hospital yang terjejas bagi membolehkan dana tambahan disalurkan.

Lihat Komen