malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia tak ikut kaedah Filipina bunuh pengedar dadah
ADS

Malaysia tidak akan menggunakan kaedah seperti kerajaan Filipina untuk memerangi jenayah dadah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid yang juga menteri dalam negeri, walaupun kerajaan ingin mengurangkan kadar pengedaran dadah, namun tindakan untuk membunuh penjenayah dadah dilihat tidak sesuai untuk dilakukan di negara ini.

"Kami menghormati kaedah yang dilakukan oleh mereka (kerajaan Filipina) tetapi ia hanya sesuai untuk negara mereka.

"Malaysia akan menggunakan kaedahnya sendiri terutama untuk menguatkuasakan undang-undang kita yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet bagi membanteras dadah di peringkat sekolah di bangunan Parlimen hari ini.

Selain itu, Zahid turut memberitahu bahawa antara kaedah yang kini dalam pertimbangan untuk dilakukan ialah merampas aset yang dimiliki oleh pengedar dadah dan ia akan dicairkan bagi membolehkan hasilnya digunakan untuk membenteras gejala tersebut.

Sejak Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengambil alih kuasa pada 30 Jun lalu, sekurang-kurangnya 3,000 nyawa telah terkorban dalam tempoh dua bulan selepas Duterte berjanji untuk membunuh penjenayah dadah.

Bagaimanapun, jurucakap Duterte, Martin Andanar menegaskan, kebanyakan yang terbunuh itu adalah anggota kumpulan dadah yang ‘berperang sesama sendiri’ dan bukannya diarahkan bunuh seperti yang didakwa.

Tindakan Filipina itu juga menimbulkan ketegangan diplomatik antara Washington dan Manila apabila Duterte memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama supaya tidak mempersoalkan pembunuhan suspek dadah atau bakal dimaki jika mereka bertemu.

Lihat Komen