malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kami dipilih rakyat, dia dilantik MO1' - speaker halau MP
ADS

Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini memberitahu bahawa beliau dihalau keluar daripada kamar khas oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Lim berkata, beliau dihalau Pandikar sebelum sempat membahaskan ucapannya mengenai Belanjawan untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa tertinggi antara semua negeri.

Menurut Lim, beliau dihalau selepas mereka bertekak mengenai tindakan Pandikar yang mempengerusikan kamar khas berkenaan memberi "syarahan" kepadanya berhubung isu subjudis berkaitan saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

"Saya telah dihalau keluar oleh Pandikar dalam kamar khas sebelum saya membahaskan usul khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17.

"Sebelum saya bercakap, Pandikar menyuruh saya untuk duduk dan dia mula memberi 'syarahan' kepada saya.

"Dia berkata, saya telah menghinanya di luar Dewan dengan membuat sidang media. Kenyataan terakhir yang saya buat ialah mengenai subjudis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Selepas itu, Lim berkata, mereka turut saling menjerkah antara satu sama lain sebelum dihalau keluar dari sidang kamar khas berkenaan.

"Sebelum dia habis bersyarah kepada saya, saya bangun dan memberitahu supaya jangan bersyarah kepada saya. Benarkan saya habis bercakap. Kemudian dia bercakap lagi, jadi saya mengatakan dia (Pandikar) telah menghina Parlimen.

"Kemudian dia menghalau saya keluar. Sebelum saya berjalan keluar dia menjerit kepada saya dan saya jerit balik kepada dia. Saya cakap, kami telah dipilih oleh rakyat tetapi dia dilantik oleh MO1.

"Kemudian dia jerit kepada saya lagi, dan saya berjalan keluar," kata Lim.

Menurut Lim lagi, antara perkara yang dibangkitkan oleh Pandikar semasa "bersyarah" kepadanya ialah mengenai perubahan yang telah dilakukan di Parlimen antaranya mewujudkan kamar khas.

Tetapi, Lim berkata beliau mempertikaikan tentang janji Pandikar sebelum ini untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada anggota parlimen di kedua belah pihak sebelum sebarang rang undang-undang dibentangkan di Parlimen.

"Jawatankuasa itu untuk meneliti draf rang undang-undang sebelum dibentangkan. Janji itu tak pernah ditepati sehingga sekarang.

"Jadi oleh itu saya mengatakan, Pandikar tidak pernah jujur dengan apa yang dikatakan," ujarnya.

Lihat Komen