malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Borang pengakuan bujang elak penipuan - Jamil Khir
ADS

Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), imam dan masyarakat setempat harus memainkan peranan proaktif bagi mengelakkan berlakunya
salah faham yang boleh membawa kepada berlakunya tragedi tidak diingini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata di peringkat pentadbiran sudah wujud mekanisme bagi mengesahkan status perkahwinan seseorang individu muslim iaitu menerusi borang pengakuan bujang yang perlu diisi sebelum pernikahan berlangsung.

Beliau berkata berkaitan perkahwinan, masalah yang timbul apabila sudah jatuh cinta ialah ada yang yang tidak nampak atau tidak peduli status bakal pasangan.

"Lebih menyedihkan apabila seorang daripada pasangan bersikap tidak jujur dalam memaklumkan status dirinya, sama ada demi menjaga kepentingan diri atau mahu menggunakan pendekatan 'minta maaf' selepas berkahwin, ia tetap perkara yang salah.

"Pada saya, Majlis Agama Islam Negeri, imam kariah dan masyarakat setempat harus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam meninjau dan meneliti perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Surau Al Barakah di Kampung Batu 8, Jeniang di Gurun, hari ini.

Jamil Khir memberikan reaksi demikian sewaktu diminta mengulas mengenai kes semakan status perkahwinan pasangan yang bakal berkahwin di Terengganu, sehingga berakhir dengan tragedi pembunuhan.

Hadir sama pada majlis yang diadakan bersempena Konvoi Kembara Zakat Kedah 2016 itu, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Anan C Mohd.

Jamil Khir berkata borang pengakuan bujang boleh mengelakkan timbulnya soal penganiayaan, khususnya bagi wanita yang terlibat dengan poligami, bahkan penipuan status perkahwinan di dalam borang pengakuan bujang boleh menjadi satu kesalahan yang serius.

"Seluruh proses harus dilihat secara serius oleh pihak berwajib dan
masyarakat umum juga harus memainkan peranan untuk memaklumkan atau memberi nasihat kepada pasangan yang bakal berkahwin.

"Sistem sudah ada, malah berdasarkan SOP (Prosedur Operasi Standard), status bujang perlu mendapatkan pengesahan daripada imam kariah, namun bila bermula dengan penipuan, timbul rasa marah hingga tergamak melakukan pembunuhan," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata pembinaan surau di Kampung Batu 8 akan memberi manfaat kepada hampir 100 keluarga memandangkan ketika ini mereka perlu keluar kira-kira satu kilometer ke masjid di Kampung Batu 9, yang terletak di jalan besar untuk menunaikan ibadah secara berjemaah.

"Surau yang akan dibina di atas tanah yang diwakafkan penduduk kampung, Mansor Salim, 63, dan adik perempuannya, Mersini, 59, iaitu seluas 792 kaki persegi ini dijangka siap pembinaannya menjelang Julai 2017," katanya. -Bernama

Lihat Komen