malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRS mohon lebih banyak kaum Dayak dalam sektor awam`
ADS

Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah meminta kerajaan negeri meningkatkan pengambilan kaum Dayak dalam perkhidmatan awam
negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Presidennya, Tan Sri Dr James Masing berkata buat masa ini komposisi kaum Dayak yang berkhidmat dalam sektor awam dan syarikat GLC tidak mencerminkan kepelbagaian kaum di Sarawak.

Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata masalah ketidakseimbangan komposisi kaum semasa dalam perkhidmatan awam tidak seharusnya dibebankan di bahu Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, Adenan mewarisi masalah tersebut dan percaya ketua menteri itu akan menangani perkara itu secepat mungkin.

"Kami akan membantu anda (Adenan)," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) PRS Keempat yang dirasmikan oleh Adenan, di Bintulu hari ini.

Mengenai parti itu, beliau memuji pemimpin-pemimpin kanan parti kerana
memberi laluan kepada pemimpin muda meningkat naik dalam hierarki parti.

Walaupun untuk dirinya, Masing berkata dengan usianya semakin meningkat, beliau perlu mempunyai pelan penggantian tersendiri bagi memastikan kestabilan parti yang telah wujud sejak 12 tahun lepas.

"Saya sudah berusia 67 tahun dan menjadi wakil rakyat selama 33 tahun," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak boleh menjadi presiden parti selama-lamanya.

Untuk rekod, PRS merupakan parti kedua terbesar di Sarawak selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan enam Anggota Parlimen.

PRS mempunyai sejumlah 31,230 ahli di seluruh negeri itu.
- Bernama

Lihat Komen