malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Graduan kerja tukang cuci bersama ibu
Diterbitkan:  Oct 15, 2016 10:36 AM
Dikemaskini: 3:40 AM
ADS

Ain Farhana adalah seorang pembantu teknik di RapidKL. Sebelum mendapat pekerjaan tersebut, Ain - seorang graduan - tidak memilih pekerjaan dan menjadi tukang cuci bersama ibunya. Berikut adalah kisah hidupnya.

Sebelum bekerja di RapidKL sebagai pembantu teknik, dia bekerja sebagai tukang cuci, bersama dengan ibunya, dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Dia pernah mendapat komen negatif dari rakan-rakannya kerana bagi mereka, dia tidak sepatutnya bekerja di situ, apatah lagi dia berkelulusan Diploma Sains Geomatik (Sistem Maklumat Geografi) dari UiTM Seri Iskandar, Perak.

Menurutnya, dia pernah ditawarkan kerja di Damansara sebagai pembantu teknikal akoustik. "Saya bekerja di sana selama sebulan dan apabila saya mahu berhenti, bos tak benarkan," katanya.

Menurut Ain, bosnya itu berkata tarikh lahirnya secocok dengan Feng Shui syarikat itu, malah dia menawarkan untuk memberinya sebuah kereta dan apa juga jumlah gaji yang dia minta.

"Masalahnya, tidak ada mentor untuk saya belajar tentang kerja itu. Dan anda tak ikhlas apabila melakukan kerja anda, sedangkan anda tidak gembira dengan keadaan dan tuntutan kerja itu.

"Jadi, saya menolaknya dan kembali menjadi tukang cuci di RapidKL,” kata Ain.

Menurutnya, semua bos terkejut mengetahui seorang graduan bekerja sebagai tukang cuci - menyapu lantai, mencuci tandas dan memungut sampah.

"Tapi jika ibu saya boleh melakukan kerja itu untuk hidup, apa yang buat anda rasa yang anda tidak boleh?

"Sekurang-kurangnya saya dapat merasakan apa yang ibu saya lalui setiap hari dalam hidupnya bekerja untuk memberikan saya pendidikan sehingga ke universiti.

"Satu hari ibu saya datang menemui saya dan berkata bos mahu saya bekerja di sini. Saya pergi untuk temuduga, dan saya bertuah dan amat berterima kasih kerana dapat menjadi pembantu teknik di sini, hari ini," katanya.

Ain bekerja di bahagian pentadbiran yang melibatkan pengendalian pembaikan ringan dan berat, dan merupakan dunia baru baginya - daripada belajar GPS dan satelit (di kuliah), kepada perlunya mengetahui tentang angkup brek, mesin, UKP (Unit Komunikasi penumpang), EHU, malah memegang spanar!

"Saya ada rakan-rakan yang berada di dalam Senarai Dekan tetapi semuanya masih belum mendapatkan pekerjaan. Mereka sering bertanya kepada saya bagaimana saya dapat kerja," tambah Ain.

Selain daripada rahmat Tuhan,katanya, ia bergantung kepada usaha dan kesediaan untuk belajar.

"Anda perlu keluar dari zon selesa anda dan mencari," katanya sambil menambah mereka perlu menyesuaikan diri dengan situasi, persekitaran dan orang-orang baru.


Cerita ini pertama kali diterbitkan di laman Facebook Humans of Kuala Lumpur.

Facebook Humans of Kuala Lumpur, projek jurugambar Mushamir Mustafa dan Tabinda Mumtaz Shah, disiarkan di Malaysiakini setiap hari Sabtu.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen