malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kementerian draf pelan bantu peminjam bayar PTPTN
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:56 AM
Dikemaskini: 11:08 PM
ADS

Kementerian Pendidikan Tinggi sedang merumuskan pelan untuk membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyelesaikan pinjaman pelajaran mereka.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebelum membantu peminjam, kementerian perlu menilai keadaan mereka bagi mengenal pasti peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik atau mereka yang
sengaja enggan berbuat demikian.

"Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya (Idris)... kami akan draf cara untuk membantu mereka (peminjam) membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Pelajar 2016 di Help College of Arts and Technology (HELP CAT), di ibunegara semalam.

Idris, bagaimanapun, menegaskan peminjam pada masa sama perlu terus membuat pembayaran balik pinjaman mereka kepada PTPTN ketika pelan sedang dirumuskan.

Ditanya mengenai jumlah peminjam yang telah menghubungi kementerian setakat ini bagi mendapatkan bantuan, Idris berkata beliau secara peribadi telah menerima kira-kira 30 emel daripada peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka.

Setakat Julai tahun ini, terdapat 2.49 juta pemimjam PTPTN di seluruh negara sejak badan itu ditubuhkan pada 1997.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan kutipan balik pinjaman sebanyak RM3 bilion menjelang akhir tahun ini susulan sasaran bayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion diunjurkan bagi tahun ini telah
dicapai.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Idris berkata Seminar Kepimpinan Pelajar 2016 menyediakan peluang kepada pemimpin pelajar daripada pelbagai institusi swasta untuk membina rangkaian antara satu sama lain dan meningkatkan kemahiran
kepimpinan mereka.

Seminar dua hari bermula hari ini dihadiri 800 pemimpin pelajar daripada pelbagai kolej dan universiti swasta di sekitar Lembah Klang.

- Bernama

Lihat Komen