malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu Durian Kunyit: Penjelasan Jabatan Hutan
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 7:46 PM
Dikemaskini: 11:52 AM
ADS

ULASAN Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) ingin membuat penjelasan berhubung isu yang hangat diperkatakan di dalam media massa sejak akhir-akhir ini iaitu kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan penanaman spesies Pokok Durian Kunyit dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Negeri Kelantan.

Berhubung dengan dakwaan yang menyatakan terdapat kelulusan Projek Pembangunan Kawasan Teroka Haram dengan tanaman spesies pokok durian kunyit di Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok, hasil semakan JPNK mendapati dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas. Ini kerana hasil semakan adalah seperti berikut:

  1. Pelan kawasan yang tertera dalam kawasan tersebut adalah tidak merujuk kepada Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok. Ini kerana pelan kawasan yang dinyatakan adalah di Hutan Simpan Ulu Galas;
  2. Semakan juga mendapatitiada sebarang arahan kepada Pejabat Hutan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Renjer Hutan untuk melaksanakan semakan dan bancian dalam kawasan yang dimaksudkan. Jadi, bagaimana dakwaan menyatakan mendapat laporan daripada Renjer Hutan beserta dengan keadaan dan stok kandungan boleh diperolehi?
  3. Semakan rekod pelan, tiada apa-apa kelulusan atau pengecaman yang dibuat atas Kompartmen 32 dan 34, Hutan Simpan Sungai Brok.

Pemilihan spesies Pokok Durian Kunyit dalam Program Penghutanan Semula di kawasan teroka haram adalah sebahagian pokok hutan yang dibenarkan dalam projek perintis ini.

Kesemua pemilihan jenis pokok hutan dan kaedah penanaman pokok hutan sama ada secara reka bentuk pepagar (perimeter design) atau sulaman antara barisan pokok kelapa sawit (interplanting) akan diperincikan setelah pihak syarikat mengemukakan Rancangan Penghutanan Semula yang perlu disediakan kepada JPNK sebagai salah satu syarat-syarat kelulusan.

Durian Kunyit adalah durian klon daripada spesies asal Durio Zibethinus yang merupakan spesies pokok hutan tempatan berbanding Getah Klon Balak yang merupakan tumbuhan yang dibawa masuk dari luar Negara.

Durian Kunyit juga boleh mengeluarkan hasil buah-buahan durian yang bernilai dalam jangka masa pendek dan dapat menghasilkan kayu balak yang bermutu tinggi setelah pokok ini mencapai tahap kematangan.

Pokok Durian termasuk di dalam senarai pokok hutan dalam Kaedah-Kaedah Hutan Negeri Kelantan 1985.

Ini kerana pokok durian merupakan hasil hutan utama dan perlu dikutip cukai sekiranya ditebang untuk dibawa keluar dari Hutan Simpan, Tanah Kerajaan atau Tanah Milik.

Selain itu, Negeri Sarawak telah pun menanam pokok durian di kawasan pertanian pindah bagi menyelesaikan isu-isu sebegini kerana selain dapat meningkatkan hasil kerajaan ianya turut dapat memulihkan kawasan-kawasan hutan yang telah diteroka secara haram.

Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar kepada empat buah syarikat sahaja.

Daripada jumlah tersebut hanya dua syarikat sahaja diberi kelulusan perlesenan yang melibatkan kawasan seluas 100 hektar iaitu Syarikat Gunung Basor Enterprise dan Syarikat Kundor Tegoh Solution Sdn. Bhd.

Dakwaan yang menyatakan kelulusan pembangunan kawasan teroka haram dalam KSK seluas 1,697 hektar adalah tidak benar.

JPNK mendapati dakwaan yang dikemukakan adalah mengelirukan dan tidak memahami proses kelulusan dan perlesenan Pentadbiran Perhutanan di Negeri Kelantan.

Kelulusan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada syarikat pemaju di atas adalah satu inisiatif yang baik dalam membangunkan semula kawasan HSK yang telah diteroka haram dan mengawal penyusutan keluasan HSK di negeri Kelantan disamping mengambil kira pulangan hasil ekonomi, kestabilan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
 

Lihat Komen