malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP DAP kemuka usul minta pembentangan laporan audit 1MDB
Diterbitkan:  Sep 29, 2016 7:33 PM
Dikemaskini: 11:46 AM
ADS

Ahli Parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming hari ini mengemukakan usul di Parlimen meminta pembentangan laporan ketua audit negara mengenai 1MDB yang masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Usul saya adalah meminta supaya laporan ketua audit negara berkenaan skandal 1MDB dibentang dan dibahas di Parlimen supaya mengenal pasti sama ada jumlah wang awam RM28 bilion telah dicuri ataupun tidak.

"Kerajaan Malaysia telah menjadi bahan ketawa dunia kerana memakai Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk menyembunyikan laporan Ketua audit negara," katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 17 Oktober dan hari ini adalah tarikh akhir untuk ahli Parlimen mengemukakan usul dan soalan.

Nga turut mengemukakan usul mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB.

Beliau juga mengemukakan usul meminta semua anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada Parlimen pada setiap hujung tahun bulan Disember dan kajian semula Akta Majlis Keselamatan Negara, selaras dengan titah Majlis Raja-Raja.

"Keempat-empat usul bertulis itu adalah perkara-perkara spesifik, berkepentingan awam dan perlu diberi keutamaan dalam menyelamatkan negara ini dari terus terjerumus ke kancah kemusnahan.

"Saya menaruh harapan yang tinggi supaya Tuan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat akan membenarkan usul-usul ini dibahas serta diluluskan sempena persidangan parlimen yang akan bermula dari 17 Oktober ini demi untuk menjaga kepentingan negara kita yang tercinta ini," tegasnya lagi.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB telah dibentangkan di Parlimen pada 7 April, tetapi laporan Audit Negara masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi

Laporan audit itu telah dirujuk dalam laporan PAC, sebagai sumber siasatan jawatankuasa itu.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata terpulang kepada PAC sama ada mahu membentangkan laporan audit itu kepada Parlimen.

Manakala permohonan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk mencabar klasifikasi laporan audit itu akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 26 Oktober.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen