malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: M'sia akan bekerjasama dengan AS, kata Najib
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 11:33 PM
Dikemaskini: Sep 28, 2016 5:28 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Malaysia akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan pihak berkuasa antarabangsa yang lain bagi menyiasat penyalahgunaan wang dari dana milik negara Malaysia yang diasaskannya.

"Kami sama-sama mengambil berat tentang tadbir urus yang baik di Malaysia dan kedaulatan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman Angela Merkel, apabila ditanya mengenai siasatan antarabangsa itu.

"Jadi dalam lingkungan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang, Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk bekerjasama dan melakukan apa yang perlu," katanya seperti dilapor Reuters.

Najib berkata beliau membantah pilihan raya awal sebelum 2018 kerana keputusan itu tidak boleh berdasarkan "satu faktor semata-mata".

"Kami mempunyai rekod yang kukuh dan kami akan terus memberitahu rakyat Malaysia bahawa kerajaan kami masih merupakan pilihan yang terbaik," katanya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan pada 19 November untuk menggesa peletakan jawatan serta-merta Najib dan siasatan bebas ke atas skandal kewangan 1MDB.

1MDB ditubuhkan pada September 2009 untuk pelaburan dalam projek hartanah dan tenaga strategik. Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga kini.

Pendakwa raya AS memfailkan tindakan undang-undang sivil pada Julai mendakwa lebih AS $ 3.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat antarabangsa percaya lebih AS$ 1 bilion dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib adalah daripada 1MDB.

Fail dari Amerika menyebut seorang pegawai berpangkat tinggi yang tidak dinamakan menerima sebahagian daripada dana yang disalahgunakan.

Satu sumber yang biasa dengan penyiasatan memberitahu Reuters bahawa pegawai yang tidak dinamakan itu adalah Najib.

Najib menafikan sebarang salah laku dan telah mengharungi gesaaan berterusan agar meletakkan jawatan berhubung cara beliau mengendalikan skandal 1MDB, yang juga sedang disiasat oleh sekurang-kurangnya lima negara lain.

Lihat Komen