malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Harakah, PAS gagal selesai saman fitnah Najib
ADS

PAS tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak terhadap akhbar rasmi parti itu Harakah berhubung laporannya mengenai anak tiri perdana menteri Riza Aziz, berdasarkan artikel yang disiarkan di New York Times tahun lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini, peguam PAS,Wan Rohimi Wan Daud berkata kes itu akan dibicarakan.

"Kami telah memaklumkan peguam Najib mengenai (keputusan) ini.

"Pengurusan kes untuk perkara ini dijadualkan semula pada 1 Disember di hadapam Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif," katanya.

Semasa prosiding pengurusan kes pada 26 Julai lalu, PAS dilaporkan tidak bersedia untuk menerima penyelesaian yang dicadangkan.

Dalam saman yang difailkan pada 18 Mac tahun lalu, Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Rosli Yaakop dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Taufek Yahya sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, perdana menteri berkata artikel itu menggambarkan beliau sebagai telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Najib mempunyai dua rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung dengan kes ini.

Pertama, untuk meminda pernyataan tuntutannya dengan memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa dirinya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku mengenai 1MDB.

Permohonan kedua adalah perbicaraan diteruskan tanpa perlu memanggil saksi termasuk dirinya sendiri.

Kedua-dua permohonan itu ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Datuk Hue Siew Kheng. Kes itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan semua pihak sedamng menunggu keputusannya.

Cadangan supaya Najib dan Harakah menyelesaikan saman itu di luar mahkamah mula didedahkan pada 21 Jun.

Selain saman ini, Najib mempunyai lima lagi saman iaitu terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Malaysiakini, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, dan bekas presiden MCA dan bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Beliau, bagaimanapun, telah menyelesaikan saman fitnahnya ke atas ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming daripada DAP.

Lihat Komen