malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Logo halal Risda akan sebabkan lebih banyak kekeliruan'
ADS

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata usaha memperkenalkan logo halal baru khusus untuk produk yang dihasilkan orang Islam boleh mewujudkan lebih banyak kekeliruan.

"Ini mungkin menyebabkan kekeliruan. Bagaimana ia berhubungkait dengan logo halal yang lain, dan apabila produk dieksport siapa yang akan mengenalinya," kata Ketua aktivis PPIM Nadzim Johan kepada Malaysiakini.

Nadzim berkata demikian berikutan rancangan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) melancarkan logo halal baru khusus bagi produk keluaran Muslim, awal tahun depan.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata logo itu bertujuan mengesahkan produk berkenaan keluaran usahawan Muslim selepas memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Nadzim bagaimanapun menegaskan di bawah undang-undang, hanya Jakim dan majlis agama Islam negeri dibenarkan mengeluarkan sijil dan logo halal.

Beliau merujuk Akta Perihal Dagangan yang menyatakan bahawa individu yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Badan-badan korporat pula boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

Sementara itu, Nadzim berkata, logo yang dikeluarkan oleh Ikiam atau Risda akan mewujudkan persaingan yang tidak perlu.

"Nanti Felda pun nak logo halal juga. SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) pun nak juga nanti," katanya berseloroh.

Beliau berkata adalah lebih baik jika Jakim dan kerajaan melihat kategori sijil halal dan bukannya "menambah satu lagi isu yang membebankan rakyat."

PPIM sebelum ini mencadangkan sijil halal sementara oleh Jakim bagi memudahkan peniaga-peniaga kecil memecah masuk ke pasaran halal.

Nadzim berkata ini adalah untuk mereka yang tidak mempunyai dana menghasilkan produk yang mencapai standard Jakim, tetapi tetap menghasilkan makanan halal.

Lihat Komen