malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bodoh jika tangguh p'raya pendapat peribadi Pua'
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengenai pilihan raya awal di negeri itu merupakan pandangan peribadi.

Ini berikutan kenyataan Ketua DAP Selangor itu yang menuntut supaya pilihan raya negeri diadakan lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan proses persempadanan semula pilihan raya.

"Tak apa, itu pandangan dia (Tony Pua).

"Malam tadi Biro Politik Keadilan (PKR) telah membincangkan perkara ini dan saya telah memaklumkan seperti yang saya nyatakan kita telah merujuk pandangan peguam-peguam dan mereka merasakan kita perlu mencari semua pilihan yang kita ada sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap SPR," kata Azmin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam sebentar tadi.

Terdahulu, Pua berkata keputusan supaya pilihan raya negeri diadakan lebih awal dibuat pada mesyuarat tergempar parti itu, malam semalam.

"Jika kamu buat tinjauan rambang, ramai akan menyatakan perkara yang sama.

"Adalah bodoh jika kamu berkata kita harus mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai," kata Pua kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Keputusan itu, katanya, dibuat berdasarkan keputusan hasil analisis DAP Selangor.

Azmin Isnin lalu dilaporkan menolak cadangan itu dengan berkata kerajaan negeri tidak boleh mengkhianati mandat yang diberikan pada pilihan raya umum lalu.

Malah, Azmin ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat selama tiga jam sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan mengadakan pilihan raya negeri.

Lihat Komen