malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib kongsi pengalaman jadi pekerja Petronas
Diterbitkan:  Sep 16, 2016 9:08 PM
Dikemaskini: 1:13 PM
ADS

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengimbau pengalaman beliau bertugas sebagai eksekutif muda dengan syarikat minyak nasional, Petronas, selepas menamatkan pengajian tinggi.

Perdana Menteri berkata ketika itu, Petronas baru beroperasi pada 1974 di bawah persekitaran dan generasi yang amat berbeza.

Beliau berkata, pada masa itu syarikat multi nasional asing menjadi dominan dalam usaha carigali minyak dan gas di negara ini.

"Keadaan ini dapat dilihat lebih-lebih lagi di Miri sehingga Miri diberi gelaran bandar Shell," katanya ketika berucap kepada kira-kira 1,000 kakitangan Petronas pada perhimpunan khas sempena sambutan Hari Malaysia 2016 di Pusat Sivik Bintulu.

Beliau bagaimanapun berkata, pemimpin negara seperti ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi perdana menteri dan lain-lain memutuskan untuk mengubahnya.

Negara telah dicapai kemerdekaan politik dan mereka kemudian memutuskan untuk memperjuangkan kemerdekaan ekonomi, katanya.

"Tugas pertama mereka ialah untuk menjadikan Shell sebagai kontraktor kepada Petronas dalam usaha carigali dan tidak lagi pemegang konsesi tunggal bagi minyak dan gas di negara ini," katanya.

Apabila Petronas ditubuhkan pada 1974, beliau berkata mereka mahu mengangkat maruah dan penghormatan kepada industri minyak dan gas negara.

Ia kemudian menjadi penjaga industri itu dan ketika tahun demi tahun berlalu syarikat minyak itu telah melakar banyak kejayaan dan kemajuan dan akhirnya muncul sebagai ikon negara seperti sekarang, katanya.

Najib berkata, negara berbangga dengan banyak pencapaian oleh Petronas baik di negara ini dan di peringkat global dan Petronas perlu dijaga dengan baik untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasinya.

"Ia kini menjadi kebanggaan dan kegirangan negara, ikon nasional dan juga syarikat Fortune 500," katanya.

- Bernama

Lihat Komen