malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rasuah mungkin punca harga hartanah melambung
ADS

Ahli LembagaPpenasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Rizalman Mokhtar berkata ada kemungkinan harga harta tanah yang tinggi di ibu kota adalah kesan daripada rasuah yang berlaku.

“Memang ada kemungkinan (amalan rasuah) menyumbang (kepada kenaikan harga) tetapi masih terlalu awal untuk kita justify (mewajarkan) siasatan SPRM.

“Kalau rakyat nak tahu kita pun nak tahu. Kita tak mahu nanti ada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan atas polisi dan keputusan yang telah dibuat untuk kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Jalur Gemilang Merdeka Jabatan Penerangan di Balai Bomba Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur pagi ini.

Rizalman, yang juga pengerusi jawatankuasa perumahan DBKL, berkata demikian selepas ditanya adakah kes rasuah melibatkan DBKL yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi penyebab harga harta tanah di bandar raya Kuala Lumpur meningkat dan perkembangannya tidak seimbang.

Terdahulu SPRM menahan tiga penjawat awam - dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk - atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.

Tindakan perlu diambil

Seorang daripada suspek itu ialah pegawai kanan DBKL yang dipercayai memiliki 31 kondominium mewah bernilai RM15.5 juta yang diperoleh daripada pemaju perumahan.

SPRM menganggap skandal seumpama itu tidak pernah berlaku dan akan menyoal siasat sekurang-kurangnya 30 lagi kakitangan DBKL.

Rizalman berkata, beliau bersyukur kerana rasuah yang berlaku telah terdedah dan berharap siasatan dijalankan secara adil.

“Alhamdulillah perkara-perkara ini terbongkar sekarang dan kita harap siasatan dijalankan dengan adil.

"Siapa pun yang terlibat - kalau betul melakukan kesalahan - tindakan perlu diambil,” katanya.

Pada masa sama, Rizalman juga menyambut baik keputusan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz bahawa semua pegawai atasan DBKL dikehendaki mengemas kini pengisytiharan aset mereka. 

“Itu langkah yang baik, Datuk Bandar arahkan semua ketua jabatan untuk isytihar harta, itu salah satu langkah yang baik.

“Kita boleh lihat kalau ada kemungkinan berlalu penambahan harta yang tak seimbang dengan pendapatan jadi kalau itu kita dapat kesan, kemungkinan ada unsur-unsur lain yang kita tak tahu,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pengurusan tertinggi DBKL akan mengkaji semula prosedur dalaman untuk mengenal pasti dan memperbaiki mana-mana kelemahan bagi memastikan kes sedemikian tidak akan berulang pada masa depan.

“Saya yakin pihak pengurusan tertinggi DBKL akan melihat semula proses dan prosedur, kalau ada mana-mana kelemahan akan diperbaiki kerana yang paling penting kita tak mahu perkara begini berulang lagi,” katanya.

Lihat Komen