malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bingung dengan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf atas tindakannya mengekang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya bekas perdana menteri itu juga adalah orang yang bertanggungjawab menjamin kebebasan Internet namun kemudian menyesalinya.

"Saya pun tak faham Dr Mahathir.

"Dulu dia buat (pinda perlembagaan untuk hadkan kuasa sultan), dia juga suruh kita sokong.

"Sekarang ni bila dia tengok benda ini tak memihak kepada dia, dia kata dia salah," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Beliau sebelum itu melepaskan konvoi Kembara Jalur Gemilang di pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3.

Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir pada 25 Ogos lalu yang meminta maaf kerana meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1988.

Biar dia dengan dunianya

Melalui pindaan itu kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi diperlukan untuk menjadikan sesuatu akta sebagai undang-undang.

"Ia kelihatan (oleh) kerana pindaan itu, (Akta Majlis) Keselamatan Negara yang baru, telah mula berkuatkuasa, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya," tulis Mahathir dalam blognya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan apa saja yang mempunyai kaitan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, masih memerlukan tandatangan baginda.

Ketika menubuhkan Koridor Raya Multimedia pada akhir 1990-an Dr Mahathir membuat kenyataan terbuka bahawa kerajaan tidak akan menyekat kebebasan Internet dalam usahanya menarik pelabur asing.

Pada 2013 - selepas beliau berundur daripada kerajaan - Dr Mahathir menyatakan rasa kesalnya atas jaminan berkenaan dan menganggap ia punca berlaku salah guna kebebasan.

Kata Tengku Adnan dengan keadaan begitu sukar untuknya memahami apa yang disampaikan bekas presiden Umno berkenaan.

"Biarlah dia dengan dunia dia, OK? Saya tak nak campur," katanya.

Sementara itu Tengku Adnan berkata penting untuk kerajaan terus menyelesaikan masalah rakyat.

Justeru katanya rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan mereka mendapat keselesaan kehidupan.

"Jadi kita dalam kerajaan, kita akan teruskan apa yang kita nak laksanakan," katanya.

Lihat Komen