malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menjelang 2020, 75% pekerja Petronas di S'wak anak tempatan
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 6:29 PM
Dikemaskini: 10:47 AM
ADS

Rakyat Sarawak kini akan mengisi sehingga 95 peratus bagi jawatan bukan eksekutif untuk aktiviti Petronas di negeri bumi kenyalang itu, kata Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem.

Persetujuan tersebut telah dicapai semasa pertemuan Adenan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin dan beberapa pegawai kanan firma petroleum negara itu di Putrajaya.

Selain itu, 75 peratus jawatan eksekutif dan 60 peratus kakitangan pengurusan dan pentadbiran bagi aktiviti Petronas di negeri itu juga akan diisi oleh warga tempatan, jelas Adenan lagi.

"Kesemua sasaran ini akan dicapai menjelang tahun 2020 dan beberapa perkara berkaitan royalti dan hal-hal lain akan dibincangkan selepas ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dengan sasaran peratusan tersebut, jumlah pekerja Petronas di Sarawak adalah 5,190 kakitangan dengan hampir 75 peratus daripadanya terdiri daripada warga tempatan manakala bakinya adalah pekerja yang bukan dilahirkan di negeri tersebut, katanya.

Selain itu, jumlah rakyat Sarawak yang bekerja dengan firma itu di luar negeri berkenaan disasarkan berjumlah 1,000 kakitangan, tambahnya.

Najib kini dilihat sedang berusaha untuk memenuhi pelbagai permintaan dari Sarawak setelah Adenan membantu BN untuk mencatatkan kemenangan besar semasa pilihan raya negeri yang lalu.

Mengulas lanjut, Adenan menambah, dengan persetujuan tersebut, jawatankuasa kecil yang akan dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri akan mengkaji semula pembekuan permit kerja kakitangan Petronas bukan rakyat Sarawak.

"Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan mengkaji semula kesemua 586 jawatan kini sedang menunggu kelulusan permit kerja bagi memastikan rakyat Sarawak diberi keutamaan untuk mengisi jawatan," jelasnya.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak membekukan 90 permohonan permit kerja baru kakitangan Petronas yang bukan rakyat Sarawak, sejak moratorium itu dilaksanakan pada 7 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, moratorium itu hanya akan ditarik balik selepas kerajaan negeri mencapai konsensus adil dalam perbincangannya dengan Petronas berhubung peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

Di samping itu, pertemuan Adenan dengan Najib dan pengurusan kanan Petronas itu turut membuahkan beberapa hasil antaranya pelantikan setiausaha kerajaan negeri sebagai ahli lembaga pengarah Petronas.

Petronas juga akan menyediakan sehingga 50 tempat kepada penuntut Sarawak untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Petronas.

Lihat Komen