malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Hafarizam wakili PM dalam saman Zaid
ADS

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung saman yang difailkan oleh bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Hafarizam berkata beliau akan menerima surat pelantikan itu lewat hari ini.

"Saya hanya dilantik untuk mewakili PM dalam saman tersebut.

"Saya tidak tahu siapa yang akan mewakili 1MDB dan (anak tiri Najib) Riza Aziz," katanya selepas pengurusan kes saman Najib terhadap bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik.

Zaid menamakan Najib, 1MDB, kerajaan Malaysia dan Riza Aziz sebagai defendan dalam saman tersebut kerana melanggar tanggungjawab fidusiari.

Bekas menteri itu mahu perdana menteri memulangkan AS$ 731 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya kepada kerajaan.

Zaid juga mahu RM42 juta yang diterima Najib daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dikembalikan kepada kerajaan dan 1MDB.

Zaid memfailkan tindakan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, melalui firma guaman Tetuan Americk Sidhu.

Bekas menteri undang-undang itu mendakwa Najib, sebagai pemegang amanah 1MDB, mempunyai tanggungjawab melindungi dan memelihara aset berdaulat negara dan tidak boleh menukarkan atau menyalahgunakan mana-mana asetnya untuk kegunaan sendiri, atau untuk kegunaan mana-mana orang tidak berhak kepada harta itu.

Zaid juga mendakwa Najib menyalahgunakan RM42 juta sebagai rasuah atau dorongan kewangan dengan menggunakan pengaruhnya ke atas Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk membuat pinjaman bagi SRC International.

Hasil daripada ini, Zaid berkata, Najib boleh dikenakan tindakan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada kerajaan.

Beliau juga berkata disebabkan AS$ 731 juta dimasukkan dalam akaun peribadi Najib itu dikatakan daripada dana 1MDB, beliau juga bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi sepenuhnya kepada kerajaan.

Jumlah berkenaan terdiri daripada AS $ 681 juta yang disimpan dalam akaun Ambank Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mac 2013, dan juga AS$ 20 juta yang didakwa diterima daripada Good Star Ltd antara Februari dan Jun 2011, serta AS $30 juta yang didakwa diterima daripada Aabar BVI antara bulan oktober dan November 2012.

Lihat Komen