malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kumpulan hip hop Taiwan terkejut dengan tangkapan Namewee
Diterbitkan:  Aug 23, 2016 9:47 PM
Dikemaskini: 1:50 PM
ADS

Kumpulan hip hop Taiwan, Jiu Yi Yi yang membuat penggambaran bersama penyanyi rap Namewee dalam video muzik kontroversinya yang didakwa menghina sensitiviti agama rakyat Malaysia terkejut dengan tangkapan ke atas rakan mereka itu pada 21 Ogos lalu.

"Kami terkejut apabila kita dapat tahu berita itu. Kami tidak menjangkakan ia akan menjadi satu isu yang serius.

“Kami berkunjung ke tempat-tempat untuk merakamkan video muzik di bawah arahan pengarah," kata pengurus kumpulan hip hop Taiwan itu kepada akhbar Taiwan, Apple Daily.

Laporan itu juga dimuatkan dalam versi dalam talian harian Cina tersebut.

Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari luar negara pada pukul 3.30 petang Ahad.

Tangkapan itu berhubung penerbitan muzik video terbarunya yang dirakamkan di beberapa tempat ibadat di Pulau Pinang, termasuk sebuah masjid di Tanjung Bungah.

Video bertajuk 'Oh My God', yang menampilkan dirinya bersama tiga yang lain, yang didakwa menghina Islam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Klip video berkenaan memaparkan mereka menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit. Video itu kemudiannya menjadi viral tetapi menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia didakwa menghina Islam.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan klip video berkenaan dan polis mula mencarinya.

Lihat Komen