malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HARAPAN sokong himpunan #TangkapMO1
Diterbitkan:  Aug 23, 2016 9:28 PM
Dikemaskini: 1:30 PM
ADS

Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menyatakan sokongannya terhadap program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada 27 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, gabungan pembangkang itu menggesa agar seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran turut turun beramai-ramai untuk menyokong perhimpunan berkenaan.

“Kami yakin dan percaya bahawa usaha anak muda dan mahasiswa ini akan mendatangkan hasil positif dalam menyelesaikan misteri Malaysian Official 1,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh PresidenPKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Dalam kenyataan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan juga membantah sekeras-kerasnya tindakan intimidasi dan menakut-nakutkan oleh pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong himpunan ini.

“(Ini) termasuk tindakan reman tiga hari ke atas tiga aktivis mahasiswa yang membuat roadshow #TangkapMO1,” katanya.

Sabtu lalu, tiga aktivis pelajar yang cuba mempromosi perhimpunan #TangkapMO1 di kampus UiTM cawangan Seri Iskandar di Ipoh, Perak ditahan oleh polis.

Mereka ialah Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang ingkar dengan larangan mengadakan perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos di Dataran Merdeka.

Khalid mengingatkan bahawa tiada kebenaran diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penggunaan tempat itu.

“Tapi kalau dah tuan punya tempat tak bagi janganlah buat,” katanya.

Mengulas lanjut, Pakatan Harapan berkata, pihaknya memandang serius isu laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan dakwaan kecurian berbilion ringgit wang 1MDB serta kes kemasukan AS$731 juta ke dalam akaun bank peribadi MO1.

“Pada masa yang sama, kenyataan-kenyataan bercanggah di kalangan anggota kabinet mengenai identiti MO1 serta keengganan pihak berkuasa termasuk pihak PDRM untuk mengenalpasti MO1 cukup merisaukan serta menjejas integriti pentadbiran kerajaan.

“Dalam sejarah negara malah juga dunia, apabila berlaku krisis kepimpinan atau kesusahan nasional, sekiranya golongan-golongan lain dalam masyarakat berdiam diri atau keliru, lazimnya anak muda dan mahasiswa lah yang mara mencetuskan angin kesedaran dan kebangkitan ke arah perubahan positif,” katanya.

“Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada 27 Ogos di Kuala Lumpur,” katanya.

Lihat Komen