malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN l Pada 2015, 398 penjawat awam ditahan kerana kesalahan rasuah; iaitu meningkat sebanyak 173 orang berbanding pada 2014 yang berjumlah 225 orang.

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2016 saja sudah 98 orang ditahan atas kesalahan sama.

Pada Mac 2016 seorang berpangkat setiausaha bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah berjumlah RM38.4 juta.

Pada bulan ini pula, seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ditahan bersama dua yang lain kerana kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Wang simpanan dan amanah saham bernilai melebihi RM13 juta dibekukan serta beberapa kediaman, kenderaan mewah dan wang tunai berjumlah RM400,000 turut disita.

Berdasarkan trend ini, tidak mustahil jumlah salah laku ini akan terus meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan menyeluruh dan berkesan dibuat. Lebih merisaukan ia melibatkan semua peringkat penjawat awam.

Turut membimbangkan ialah bagi tempoh 2013 hingga 2015, 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah dibuat adalah membabitkan golongan belia berusia bawah 40 tahun.

Oleh itu saya menggesa dan mencadangkan perkara-perkara berikut:

  1. Kerajaan perlu komited dan telus membanteras gejala salah guna kuasa dan rasuah, bermula daripada pemimpin negara khususnya yang berlaku di kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan. Budaya kronisme dan nepotisme mesti dirobohkan kerana ia telah menjadi benteng bagi melindungi para pelaku rasuah dan salah guna kuasa dalam struktur pentadbiran Kerajaan.
  2. Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti mengutamakan fokus pada sektor atau bidang tertentu yang dikenal pasti menjadi titik punca merebak dan giatnya gejala rasuah. Jaminan untuk menjalankan siasatan secara bebas dan kuasa untuk mendakwa juga mesti diberikan kepada SPRM.
  3. Penjawat awam perlu berani tampil sebagai pemberi maklumat atau saksi bagi mendedahkan salah laku yang berlaku dalam perkhidmatan awam. Pada masa sama, kerajaan perlu menyediakan suasana yang kondusif – termasuk pada aspek peruntukan undang-undang – bagi membolehkan mereka berbuat demikian.
  4. Orang awam mesti menolak semua bentuk dan unsur rasuah, memberikan sokongan dan bantuan kepada agensi penguatkuasa yang berkaitan dan memastikan individu yang telah didakwa atau disabitkan dengan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ini tidak lagi menduduki mana-mana jawatan berkaitan kepentingan orang awam dan negara, termasuk lantikan politik.

Saya berharap dengan kerjasama padu daripada semua pihak akan dapat membebaskan Malaysia daripada semua salah laku ini dalam masa yang lebih cepat.


NASRUDIN HASSAN Ketua Penerangan PAS dan anggota parlimen Temerloh

Lihat Komen